KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 285.47 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM10.271 juta dalam operasi yang dilakukan selama dua hari bermula 29 November lalu di sekitar Kuala Lumpur
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Datuk Razarudin Husain berkata, dalam operasi yang dijalankan bersama JSJN Bukit Aman seramai 13 suspek berumur lingkungan 21 hingga 53 tahun ditahan.
“Kesemua suspek adalah warganegara Malaysia termasuk seorang wanita. Suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah syabu.
“Hasil risikan yang dijalankan, dadah yang dirampas adalah untuk diseludup ke Sabah dan Sarawak serta negara jiran untuk pasaran antarabangsa,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Razarudin, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak enam bulan lalu.
Tambah beliau, saringan awal polis terhadap kesemua suspek mendapati empat lelaki positif dadah jenis Methamphetamine.
“Semakan rekod jenayah juga mendapati 11 suspek mempunyai rekod lampau dalam kes dadah dan jenayah.
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana JSJN setakat ini telah menyita tiga buah kereta, tujuh utas barang kemas dan seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai RM194,200,” ujarnya sambil menambah pihanya akan terus mengesan saki baki ahli sindiket yang masih bebas.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan suspek direman selama 12 hari bermula 30 November lalu bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette