Bilik janakuasa elektrik di sebuah blok Vista Angkasa, merupakan tempat sebenar tiga beg berisi dadah jenis ganja seberat lebih 12 kilogram ditemui oleh pasukan IPD Brickfields .Gambar Ihsan: Polis IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Polis menjelaskan bahawa rampasan tiga beg yang mengandungi ganja ditemui dalam bilik janakuasa elektrik di blok perumahan Vista Angkasa, Jalan Kerinchi Pantai Dalam, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, barang rampasan tersebut bukan ditemui di sebuah setor Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kerinchi, di sini, seperti yang dilaporkan dalam kenyataan pada hari ini.

Katanya, rampasan ganja seberat 12.926 kilogram dilakukan sepasukan anggota Team Task Force dari Balai Polis Pantai yang bertindak atas maklumat yang diperolehi mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Tambah beliau, bilik jana kuasa elektrik di Vista Angkasa bukan di bawah kawalan atau hak milik TNB.

Menurut Amihizam, pihaknya memohon maaf atas kekhilafan dalam menyatakan lokasi dadah tersebut ditemui.

“Namun begitu pihak polis IPD Brickfields memandang serius mengenai aktiviti yang menyalahi undang–undang khususnya berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang melakukan apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Amihizam, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ahli-ahli sindiket yang bertanggungjawab meletakkan barang terlarang terbabit di bilik janakuasa itu sedang dikesan manakala sumber bekalan dadah itu sedang disiasat. – MalaysiaGazette