Rayer
RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang, RSN Rayer hari ini mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk membahaskan isu larangan perarakan kavadi bagi Thaipusam dan Chingay sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan.

Rayer (PH-Jelutong) mengemukakan usul itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) kerana menganggap ia membabitkan perkara berkepentingan awam yang perlu disegerakan.

Beliau mendakwa, kenyataan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang memaklumkan mengenai larangan itu pada sidang Dewan Rakyat, semalam, telah menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat terbabit.

“Selepas berita itu (mengenai larangan perarakan perayaan) dilaporkan, banyak maklum balas, rintihan, aduan dan ketidakpuasan daripada rakyat di luar sana.

“Ada yang bertanya kalau Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh diadakan, PRN Sarawak boleh diteruskan, memandangkan juga 95 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah menerima suntikan vaksin, kenapa larangan ini diarahkan oleh kementerian?

“Saya bagi pihak pembangkang merayu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perpaduan Negara supaya menyemak semula keputusan itu.

“Saya cuma merayu perarakan sempena Thaipusam dan Chingay dibenarkan dengan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat,” katanya.

Rayer berkata, usul itu sudah dikemukakan kepada Azhar, pagi tadi, dan meminta agar ia diterima serta dibahaskan dengan segera.

Tambahnya: ”Untuk makluman, kemuncak perayaan Thaipusam dan Chingay adalah perarakan…Kalau tidak ada perarakan, tidak ada sebarang perayaan.

“Jadi saya mohon untuk perbetulkan perkara itu, merayu supaya perkara itu diberi perhatian sebelum dewan yang mulia ini ditangguhkan,” ujarnya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudiannya mengambil maklum mengenai usul itu dan berkata sebarang keputusan akan dimaklumkan.

Semalam, Halimah Mohamed Sadique berkata ,semua perarakan perayaan termasuk perarakan kavadi bagi perayaan Thaipusam dan Chingay sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut tahun hadapan adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan negara berhadapan jangkitan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron pada ketika ini. – MalaysiaGazette