Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir perbicaraan kes rasuah solar hibrid di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 08 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi di sini hari menegur pasukan pembelaan  Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pelanggaran perintah perjalanan ke Singapura sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika prosiding hari ini mengingatkan pembelaan bahawa beliau telah mengeluarkan arahan ‘jelas’ bahawa tertuduh (Rosmah) perlu pulang dari Singapura sebelum 21 November lepas.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini menyoal bagaimana Rosmah masih berada di Singapura sehingga tidak dapat menghadirkan diri bagi prosiding di Mahkamah Rayuan minggu lepas.

“Saya baca dalam media beliau tidak pulang pada 21 November dan masih berada di Singapura?,” soalnya kepada pasukan pembelaan.

Peguam bela Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Jagjit Singh hadir perbicaraan kes rasuah solar hibrid di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 08 DISEMBER 2021.

Peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh kemudian bangkit memohon maaf sambil mengakui kesilapan itu dipihaknya.

“Kami tahu dan akur dengan perintah mahkamah namun apabila tetapkan tarikh beliau kembali masih ada keperluan kuarantin yang perlu kami ambil kira Yang Arif.

“Namun pada saat akhir terdapat perubahan dalam dasar kerajaan yang telah mengetepikan perubahan kuarantin bagi Singapura,” katanya.

Namun kata Mohamed Zaini, arahan mahkamah perlu dituruti tidak kira apa jua situasi.

Rosmah ketika ini sedang berdepan dengan prosiding bela diri atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, perbicaraan hari ini terpaksa ditangguh ke hari Jumaat selepas kerana status MySejahtera Rosmah berwarna jingga yang menunjukkan beliau mempunyai kontak dengan Covid-19.

Kata Jagjit anak guamnya hadir bagi mengikuti prosiding hari ini namun status terkini MySejahteranya menyebabkan beliau tidak dibenarkan memasuki kawasan mahkamah.

Jelas Jagjit, beliau dimaklumkan kod warna pada status MySejahtera Rosmah berwarna jingga manakala suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak berwarna merah.

Namun ketika ditanya Hakim Mohamed Zaini Mazlan sama ada bekas perdana menteri positif Covid-19, Jagjit menyatakan beliau tidak pasti mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, Rosmah tidak terus pulang sebaliknya menunggu sahaja dalam kereta di perkarangan kompleks mahkamah sementara menunggu keputusan hakim yang kemudian menangguhkan perbicaraan.

Hakim juga mengarahkan peguam itu memastikan Rosmah mengemaskini status MySejahtera beliau pada Jumaat ini. -MalaysiaGazette