Antara individu yang dikehendaki polis dalam insiden persenda OKU , menggunakan kata kasar yang tular dalam media sosial Facebook dan Tik Tok baru baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu empat suspek, termasuk dua wanita, yang didapati mempersenda Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menyalahgunakan kemudahan golongan itu.

Selain itu mereka turut menggunakan bahasa kasar dan tidak sopan terhadap OKU.

Ketua Polis daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, identiti keempat-empat suspek dipercayai warga tempatan dikenalpasti menerusi dua video yang tular di media sosial.

Katanya, pada jam 2.10 petang, pihaknya telah menerima satu aduan daripada seorang perempuan warga tempatan berkenaan kes mempersendakan golongan OKU menerusi aplikasi media sosial Tik Tok, Facebook dan Instagram semasa pengadu berada di Bangunan Parlimen.

“Hasil siasatan awal polis mendapati pengadu telah menonton dua klip video yang telah dimuat naik menerusi aplikasi Tik Tok yang mempersendakan OKU dan menyalahgunakan kemudahan OKU.

“Video pertama yang dimuat naik, telah dilakonkan oleh dua orang lelaki yang berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta OKU di sebuah pusat membeli belah terbesar iaitu Mid Valley Megamall, Bangsar.

“Kedua-dua individu itu juga didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya memarkir kenderaan mereka di tempat letak kereta OKU dan menggunakan bahasa kasar dan tidak sopan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2021.

Tambah beliau, video kedua pula membabitkan dua orang wanita yang telah menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak.

Siasatan lanjut terhadap video itu mendapati kedua-dua wanita tersebut mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang dan bergelak ketawa sambil membuat bunyi seperti seekor beruk.

Ujar beliau, berikutan itu pengadu telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut kerana pengadu beranggapan ke semua individu tersebut telah menghina komuniti OKU di Malaysia secara terang-terangan tanpa rasa bersalah dan menggunakan warga OKU sebagai bahan untuk menarik perhatian pengguna di media sosial.

“Pihak polis kini sedang dalam usaha untuk mengesan ke semua suspek berdasarkan maklumat yang telah disalurkan.

“Kes telah diklasifikasikan dan sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang ini,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast