SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan memastikan proses pemberian vaksin ketiga (dos penggalak) di 16 klinik Selcare di seluruh negeri dapat diuruskan lebih sistematik tanpa menyusahkan orang ramai.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan & Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud menyedari ada rungutan daripada orang ramai berhubung masalah yang berlaku di sesetengah klinik bawah Selcare dalam pemberian dos penggalak.
Katanya, susulan kelulusan penggunaan vaksin Sinovack bagi dos penggalak oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 17 November lalu, kerajaan negeri telah memulakan Program Vaksin Selangor (SelVax) dengan pemberian 157,000 dos percuma mulai semalam.
“Penduduk Selangor berumur 18 tahun ke atas dan telah menerima dua dos vaksin boleh mendapatkan dos penggalak dengan mengunjungi 16 Klinik Selcare berhampiran dengan membuat tempahan awal.
“Senarai klinik yang terlibat dalam Program SelVax Booster boleh didapati di laman web https://selcareclinic.com/our-clinic atau melalui aplikasi SELangkah,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan Exco pada sidang DUN Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Elizabeth Wong (DAP-Bukit Lanjan) yang bertanyakan perkara berkaitan vaksin dos ketiga bagi rakyat negeri itu.
Menurut Dr. Siti Mariah, pihaknya juga sedang dalam usaha untuk menyediakan kemudahan vaksinasi bagi kawasan yang tidak terdapat klinik Selcare dengan meminta setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengaturkan jadual.
“Kita akan adakan program vaksinasi dos ketiga ini di beberapa lokaliti tertentu berdasarkan permintaan ADUN,” katanya. – MalaysiaGazette