PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

ALOR GAJAH – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki melakukan pemerasan dengan menyamar sebagai anggota polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Ragok, Ayer Paabas di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt. Arshad Abu berkata, penganggur berusia 33 tahun itu ditahan pada  kira-kira 6 petang susulan polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa diperas ugut ketika menyelesaikan satu kes narkotik melibatkan abangnya yang ditangkap pada 22 Nov lepas.

“Lelaki itu (mangsa) dalam laporannya mendakwa didatangi seorang lelaki (suspek) yang memperkenalkan diri sebagai Insp Farid dan mengatakan boleh membantu melepaskan abang mangsa daripada kes polis sekiranya membayar wang sebanyak RM7,000 dan jika enggan, abang pengadu akan dituduh di mahkamah.

“Mangsa yang terdesak untuk membebaskan abangnya telah menyerahkan wang tersebut pada hari sama di luar pagar Balai Polis Alor Gajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arshad berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila mendapati abangnya telah dituduh di mahkamah pada 2 November lepas dan cuba menghubungi suspek namun gagal hingga laporan polis dibuat di Balai Polis Alor Gajah, kira-kira 5.15 petang semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek yang masih bujang itu, polis menemukan beberapa barangan seperti sepucuk pistol mainan bertulis Glock 19 Austria 9X19, dua butir peluru, satu sarung pistol, satu kelopak kosong dipercayai kelopak senjata, satu buku log bertulis dan satu buku nota catitan.

“Suspek kini direman hingga 15 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 dan Seksyen 35 Akta Senjata 1960,” katanya. – Bernama