Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua kaunter pembayaran saman yang dibuka polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang diserbu orang ramai diarah tutup serta merta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, arahan penutupan itu berikutan kegagalan pihak penganjur memantau dan mengawal kemasukan orang ramai ke program berkenaan menyebabkan berlaku kesesakan.

Katanya, berikutan penutupan itu juga, maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh kedua-dua pihak nanti.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur, sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC semalam, yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal mematuhi SOP Covid-19, menyebabkan berlaku kesesakan dan keadaan yang tidak terkawal.

Serentak itu, KKM telah mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada penganjur, Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) kerana gagal mengendalikan majlis itu mengikut SOP ditetapkan.

Menurut Khairy, sebagai kerajaan, penganjur seharusnya menunjukkan teladan dan amalan terbaik kepada seluruh masyarakat dengan berpegang kepada standard yang sama seperti dikenakan ke atas rakyat. – MalaysiaGazette