Covid-19 cases Noor Hisham Abdullah infection
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes jangkitan baharu positif Covid-19 menunjukkan penurunan 388 kes kepada 5,058 kes hari ini, berbanding 5,446 kes yang dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah jangkitan yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga jam 12 tengah hari ini, 17 adalah kes import.

Kata beliau, dengan jumlah itu, menjadikan kes kumulatif positif Covid-19 kepada 2,683,523 kes, dengan 4,997 kes sembuh iaitu kumulatifnya 2,591,819 kes atau 96.6 peratus.

Menurutnya, 17 kes import sebagaimana dilaporkan itu, 11 adalah warganegara dan enam bukan warganegara, manakala kes tempatan ialah 5,041 iaitu melibatkan 4,776 warganegara dan 265 bukan warganegara.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah sebanyak 393 kes iaitu 353 kes disahkan Covid-19, 40 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Manakala kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 212 kes iaitu 151 kes disahkan Covid-19, 61 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai jumlah kluster, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 6,029 kluster direkodkan dengan tujuh kluster baharu, 5,779 kluster yang telah tamat dan 250 kluster aktif.

Behubung 5,058 kes harian yang dilaporkan hari ini pula, 80 kes atau 1.6 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5 serta 4,978 kes iaitu 98.4 peratus lagi daripada kategori 1 dan 2.

Katanya, maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di negara ini akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my, yang mana data akan dikemaskini pada jam 12 tengah malam setiap hari. – MalaysiaGazette