JOHOR BAHRU- Sebanyak RM3.021 bilion saman tertunggak melibatkan 10,073,023 keping saman direkodkan Polis Johor atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak tahun 2000 sehingga kini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintenden Khairul Azhar Ismail berkata, daripada jumlah itu, saman tertunggak melibatkan warga Singapura adalah sebanyak RM58.07 juta.
Katanya, jumlah itu melibatkan sebanyak 193,583 saman yang dikeluarkan pihaknya terhadap pemandu republik itu.
Antara kesalahan direkodkan termasuk memandu laju, menghalang lalu lintas, melanggar lampu isyarat, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, ubah suai kenderaan dan mengguna telefon bimbit,” katanya ketika ditemui pemberita di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Khairul Azhar lagi, sejak 1 Disember hingga semalam, pihaknya telah mengutip bayaran saman sebanyak RM4.8 juta dengan RM1.6 juta dikutip semalam apabila tawaran diskaun 80 peratus saman bermula.
Setakat ini, Johor Bahru Selatan merekodkan paling banyak kutipan saman berjumlah RM730,960 manakala Batu Pahat (RM539,380) dan Muar (RM469,500).
“Bagi memudahkan urusan pembayaran saman, orang ramai boleh mengunjungi 14 cawangan trafik yang terdapat di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah negeri Johor.
“Saya berharap masyarakat akan menggunakan peluang yang diberi ini untuk menjelaskan saman mereka pada harga diskaun 80 peratus” ujarnya.
Kaunter dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang 12 Disember ini.
Sementara itu,bagi orang awam, Nurul Akmar Said,37, memberitahu, pengurangan saman yang diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara pendekatan yang perlu diteruskan.
Diskaun ini, katanya, memberi ruang kepada orang ramai menyelesaikan tunggakan saman pada jumlah yang tidak membebankan.
“Terima kasih pada PDRM. Waktu rakyat hadapi kesulitan sekurang-kurangnya diskaun ini membantu meringankan kami yang mempunyai jumlah saman yang banyak.
“Kalau pun tidak bayar semua, kita bayar mana yang termampu,” katanya ketika ditemui di sini.MalaysiaGazette