primary school students mandatory Covid-19 screening Minister of Health, Khairy Jamaluddin at a news conference on the National Health & Morbidity Survey (NHMS) studies 2020 at the Ministry of Health, Putrajaya. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 26 NOVEMBER 2021. SOP violation compound Act 342
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kesal dan kecewa dengan penganjur majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia semalam yang gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Beliau berkata, majlis rasmi kerajaan yang sepatutnya memberi contoh terbaik kepada masyarakat, telah dicemari dengan kegagalan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), selaku penganjur majlis itu dalam memastikan SOP dipatuhi.

“Kejadian ini amat dikesali dan mengecewakan apabila pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program itu dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Mereka juga berjanji akan melakukan aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.

“Namun, apa yang berlaku, situasi kekesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir. Ini memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kemarahan orang ramai dengan majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Pelbagai pihak mengecam pelanggaran SOP di majlis berkenaan, yang turut diadakan pameran dari pelbagai jabatan, agensi dan organisasi.

Menurut Khairy, berikutan pelanggaran itu, kompaun RM1,000 dikenakan kepada penganjur di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) iaitu gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlaku kesesakan.

Katanya, susulan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Disember lalu, nilai kompaun yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi adalah RM1,000. – MalaysiaGazette