Hishammuddin Hussein Omicron new Covid-19 variant endemic phase
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Setakat ini tiada bukti militan bersenjata dari selatan Filipina mahu menyerang Sabah.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Angkatan Tentera Malaysia melalui pelaksanaan operasi dan perisikan.

“Saya telah dimaklumkan tidak ada petunjuk ketara atau bukti kukuh seperti mana yang dibuat oleh laporan,” katanya pada sidang media.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pertahanan memandang serius laporan South China Morning Post berhubung dakwaan “Tentera Diraja Sulu” sedang merancang untuk menceroboh Sabah.

Tegasnya, sebarang ancaman, sama ada boleh dipercayai atau tidak mesti disahkan secara bebas dan dianggap serius.

“MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya memberi perhatian terhadap laporan berkenaan.

“Agensi perisikan dan keselamatan kita juga sudah mengambil maklum mengenai perkara yang dilaporkan dan sedang dalam proses verifikasi dengan agensi sejawat mereka di Filipina dan serantau,” tambah beliau.

Semalam, South China Morning Post melaporkan Tentera Diraja Sulu merancang operasi untuk menyerang Sabah selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 datuk bandar dari selatan Filipina.

Kata laporan itu, kesemua datuk bandar telah bersetuju untuk merekrut sekurang-kurangnya 600 anggota bersenjata bagi melaksanakan misi tersebut.

“Kos peluru dan logistik yang dianggarkan sebanyak AS$10,000 telah ditanggung oleh pegawai tinggi kerajaan,” menurut laporan itu lagi.

Serentak itu itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah dalam kenyataannya memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah.

Katanya, polis memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan ancaman pencerobohan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ATM juga sentiasa memantau perkembangan yang sedang berlaku dan menilai indikator yang boleh menjejaskan keselamatan.

“Saya telah dimaklumkan oleh ATM melalui pelaksanaan operasi dan perisikan, tiada petunjuk ketara atau bukti kukuh atas laporan sepertimana dinyatakan setakat ini.

“Bagaimanapun, seperti yang turut ditegaskan oleh Panglima Angkatan Tentera dan IGP, tindakan segera akan diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah,” katanya.

Beliau telah mengarahkan ketiga-tiga perkhidmatan melalui Panglima Medan Timur (TDM), Lt. Jen. Datuk Mardzuki Muhammad; Panglima Armada Timur (TLDM), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali; dan Panglima Wilayah Udara 2 (TUDM), Mejar Jen. Datuk Shamsudin Kassim untuk memastikan ATM turut meningkatkan kesiapsiagaannya ke tahap paling tinggi di negeri berkenaan terutama di Pantai Timur Sabah.

Setakat ini, ujar beliau, di Laut Sulu dan Sulawesi yang juga merupakan laluan perairan antara Sabah dan Selatan Filipina mempunyai inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina demi memastikan laluan perairan itu sentiasa selamat.

“Hubungan kerja saya dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana juga akrab dan kukuh.

“Kami sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain mengenai perkara yang menjadi kebimbangan bersama terutama soal keselamatan.

“Prabowo Subianto, Setiausaha Lorenzana dan saya telah bersetuju untuk melaksanakan semula perbincangan peringkat Menteri mengenai TCA dan kami merancang bertemu pada Januari depan bagi kukuhkan lagi kerjasama antara angkatan tentera negara masing-masing di Laut Sulu dan Sulawesi,” kata beliau.

Menurut Hishammuddin, memelihara keamanan dan kesejahteraan Sabah sentiasa menjadi keutamaan tertinggi MINDEF.

Katanya, walau apa jua ancaman dan cabaran sekalipun, beliau serta kepimpinan MINDEF akan terus memastikan keselamatan Sabah tidak dikompromi dan kedaulatan negara tidak sewenang-wenangnya dinodai. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PDRM tingkat kesiapsiagaan hadapi ancaman di Sabah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.