Thursday, April 25, 2024
Home Utama PDRM tingkat kesiapsiagaan hadapi ancaman di Sabah

PDRM tingkat kesiapsiagaan hadapi ancaman di Sabah

Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan segera bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah berkata, langkah itu diambil berikutan laporan media yang mendakwa terdapat pihak dari Filipina sedang merancang untuk menceroboh Sabah.

“PDRM memandang serius perkara berkenaan dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan ancaman pencerobohan itu.

“Komitmen dalam perkara ini akan diberikan sepenuhnya demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

South China Morning Post melaporkan RSA merancang operasi untuk menyerang Sabah selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 orang datuk bandar dari selatan Filipina.
“Seramai 19 datuk bandar telah bersetuju untuk merekrut sekurang-kurangnya 600 orang anggota bersenjata bagi melaksanakan misi tersebut.
“Kos peluru dan logistik yang dianggarkan sebanyak AS$10,000 telah ditanggung oleh pegawai tinggi kerajaan,” menurut laporan itu.

Tambah Acyrl, PDRM mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina dalam aspek perkongsian maklumat risikan mengenai aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara.

Menurutnya, setakat ini tiada pengesahan diterima mengenai pelan yang dimaksudkan dan ia dipercayai merupakan maklumat yang telah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat antara Sabah dengan wilayah selatan Filipina.

“PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal dan elemen-elemen PDRM sentiasa dalam keadaan siap-siaga pada setiap masa untuk menangani sebarang ancaman.

“Usaha juga akan digiatkan bagi mengesan dan mengenal pasti anasir-anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot berkenaan.

“Sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas,” katanya beliau. – MalaysiaGazette