Ada pihak bimbang rakyat di Pahang terpaksa membayar cukai lebih kerana kerajaan negeri didakwa enggan mengurangkan cukai hiburan sebanyak 25 peratus ke atas taman tema serta pusat hiburan keluarga.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ada pihak bimbang rakyat di Pahang terpaksa membayar cukai lebih kerana kerajaan negeri didakwa enggan mengurangkan cukai hiburan sebanyak 25 peratus ke atas taman tema serta pusat hiburan keluarga.

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA) kecewa sejurus selepas petisyen dan rayuan pihaknya telah ditolak oleh kerajaan negeri.

Menurut Presiden MATFA, Tan Sri Richard CK Koh, segala usaha mereka gagal untuk mengecualikan cukai sebaliknya kerajaan negeri mengekalkan cukai 25 peratus sedia ada.

“Semua taman tema dan pusat hiburan keluarga di seluruh Pahang kini sedang mengkaji untuk mengenakan kos cukai hiburan kepada pelanggan, keluarga dan anak-anak yang merupakan pelawat terbesar kami.

“Kami tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan pelaksanaan ini kerana cukai berkenaan lebih bersifat menghukum dan kerajaan negeri tidak bersikap adil dalam menilai isu ini secara yang baik.

“Sebenarnya ini tidak relevan, ia tidak selari kerana Akta 103 (Akta Duti Hiburan 1953) adalah cukai era penjajah yang telah digunakan untuk menampung taman tema. Ia pada asalnya bertujuan untuk menampung cukai mudarat untuk hiburan yang banyak pada zaman penjajah di mana kelab malam, pertunjukan tarian bogel, perjudian, tinju, tarian joget dan aktiviti seperti itu diletakkan di bawah akta ini.

“Hari ini ia masih digunakan untuk pusat hiburan keluarga seperti taman tema, taman tema keluarga (FEC), muzium, zoo, akuarium, taman air, pusat boling dan teater.

“Ini adalah kes klasik di mana evolusi kawal selia telah ketinggalan di belakang evolusi konsep perniagaan serta hiburan, adakah ini relevan?” soalnya.

Kata Richard sebenarnya ada banyak lagi hasil cukai yang boleh kerajaan peroleh melalui pelbagai saluran.

“Tetapi mengapa kenakan cukai kepada anak dan ibu bapa yang mahu menghabiskan masa keluarga yang berkualiti. Taman tema, akuarium, muzium dan taman hiburan keluarga menawarkan masa terbaik untuk mewujudkan dan membina hubungan kekeluargaan dalam dunia rekreasi sebenar.

“Aktiviti yang ada di taman-taman tersebut bukan sahaja mempunyai kepelbagaian dan menyeronokkan tetapi cara terbaik untuk memastikan konsep dan hubungan kekeluargaan itu wujud.

“Seluruh negara berdepan kekurangan kutipan cukai hiburan daripada taman tema dan taman hiburan keluarga (FEC), namun hasil cukai boleh diperoleh daripada cukai korporat, cukai penggunaan pada masa hadapan dan peningkatan hasil yang diterjemahkan kesan berganda kepada ekonomi,” ujarnya.

Jelas Richard lagi, MATFA telah mengadakan perbicangan dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dan kerajaan negeri namun tidak ada sebarang maklum balas positif.

“Kami berharap ada tindakan untuk pengecualian cukai ini. Kita mahu kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Kewangan untuk campur tangan.

“Cadangan kami kosong peratus cukai hiburan bermula pada tahun 2022, kecualikan taman tema, taman hiburan dan pusat hiburan keluarga daripada cukai perkhidmatan. Setakat ini cukai perkhidmatan telah diperkenalkan tetapi pelaksanaan ditunda.

“Kami telah cadangkan pendekatan serampang tiga mata iaitu pembekuan serta-merta di seluruh negara. Pengecualian jangka sederhana dalam tempoh lima tahun dan dalam jangka panjang pengecualian lengkap.

“Hari ini, taman tema menjadi tempat berfaedah untuk keluarga berekreasi untuk menjadi keluarga yang sihat. Taman tema, dan pusat hiburan keluarga (FEC) adalah aktiviti rekreasi manakala zoo, muzium, gelanggang luncur, aktiviti kolam renang dan sukan lain juga harus diklasifikasikan sebagai aktiviti rekreasi.

Dalam pada itu, pihaknya berharap supaya kerajaan negeri Pahang akan berpegang kepada tema Keluarga Malaysia.

“Jangan susah dan bebankan keluarga dan anak-anak dengan cukai mudarat 25 peratus ini yang akhirnya hanya akan menjadi isu lyang lebih membimbangkan,” tegasnya. -MalaysiaGazette