Saringan Covid-19
Gambar hiasan

MELAKA – Seorang doktor di sebuah klinik swasta terkenal di negeri ini didakwa bersubahat dengan pesakitnya untuk mengubah keputusan ujian pantas antigen (RTK-Ag) Covid-19 daripada positif menjadi negatif.

Mendedahkannya kepada MalaysiaGazette, pengadu mendakwa akibat daripada tindakan tidak bertanggungjawab itu, pesakit Covid-19 itu kini terpaksa ‘ditidurkan’ di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka kerana lewat mendapat rawatan menyebabkan virus semakin merebak.

Dakwanya, kejadian berlaku minggu lalu, apabila pesakit lelaki berusia 40-an yang bekerja di sebuah kilang di Cheng itu datang ke klinik swasta terbabit untuk melakukan ujian RTK-Ag kerana mempunyai simptom jangkitan virus berkenaan.

“Hasil ujian kemudian menunjukkan keputusan positif Covid-19 namun lelaki berkenaan telah membuat ‘rundingan’ dengan doktor terbabit untuk menukar keputusan positif Covid-19 itu menjadi negatif bayaran tertentu sebagai ‘upah’.

“Alasannya pesakit berkenaan mengubah keputusan itu adalah tidak mahu dikuarantin.

“Bagaimanapun, selepas beberapa hari, tahap kesihatan lelaki berkenaan semakin buruk sehingga dia terpaksa dimasukkan ke ICU Hospital Melaka,” ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, susulan itu beliau telah membuat laporan kes terbabit kepada pihak berkuasa yang berjanji akan menyiasat perkara itu sebelum mengambil tindakan susulan.

Dakwanya lagi, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera kerana klinik swasta berkenaan turut mempunyai beberapa cawangan lain di negeri ini.

“Saya tidak pasti jika perkara sama berlaku di cawangan lain, tapi ianya tidak mustahil boleh berlaku jika tiada laporan dibuat.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana bukan sahaja membahayakan pesakit berkenaan tetapi juga masyarakat lain yang berisiko terdedah dijangkiti pesakit positif Covid-19 yang bebas bergerak,” katanya.

MalaysiaGazette sedang mendapatkan respon daripada pihak berkuasa yang berkenaan berhubung kejadian ini. – MalaysiaGazette