Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran berucap pada Perhimpunan Agung MIC di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tidak mahu kalah, berkompromi atau diberikan kerusi kalah atas pelbagai faktor luar kawalan, MIC menggesa Barisan Nasional (BN) untuk bersikap lebih adil kepada parti terbesar masyarakat India itu.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, MIC mahu mendapat kerusi-kerusi tradisi atau baharu berasaskan kepada realiti politik di peringkat akar umbi pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

“Dalam kesempatan ini juga, saya ingin menekankan kepada kepimpinan BN, adalah menjadi tanggungjawab MIC untuk memastikan reprentasi masyarakat India dalam kerajaan sentiasa terjamin. 

“Ini penting dalam usaha untuk memastikan masyarakat kami tidak ketinggalan daripada arus pembangunan perdana. Ini hanya dapat merealisasikan melalui peruntukkan kerusi yang adil dan berpatutan kepada MIC.

“Maksud saya ialah kawasan-kawasan DUN ataupun Parlimen di mana MIC ada a fighting chance atau lebih baik kalau kami diberi ‘winnable seats’ untuk bertanding.

“Jangan menghina kami dengan beri kerusi pasti kalah kerana pelbagai faktor di luar kawalan MIC,” ucapnya pada Perhimpunan Agung MIC yang ke-75 di MITEC di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden UMNO dan BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin THussein, mantan Presiden MIC, Tun S. Samy Velu.

Kata Vigneswaran lagi, MIC berharap pembahagian kerusi untuk parti-parti gabungan BN dilakukan secepat mungkin supaya kepimpinan parti masing-masing dapat melantik penyelaras secepat mungkin supaya calon-calon yang dikenalpasti mempunyai masa untuk bekerja di peringkat akar umbi masing-masing.

“MIC tidak mahu perkara ini diputuskan pada saat akhir hingga menjadi perebutan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan hasrat perwakilan MIC Perak yang mahukan kerusi-kerusi DUN boleh menang supaya ada wakil yang dilantik sebagai Exco kerajaan negeri nanti.

“Permintaan ini adalah atas pengorbanan MIC di dua pilihan raya umum lalu apabila melepaskan kerusi Behrang dan Pasir Panjang serta Hutan Melintang sehingga kami diberi kerusi yang tiada peluang langsung untuk menang. 

“Namun demikian, MIC tetap menerima cabaran tersebut dan bertanding. Kami harap akan diberikan peluang bertanding semula di kerusi Parlimen yang kami hilang sebelum ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette