Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid (kanan) menunjukkan ikan ketika "Happy Hour Sale" pada hari terakhir Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berpuas hati dengan sambutan yang diterima booth kementerian itu sepanjang program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari.

Pada masaa sama, beliau yakin rakyat mendapat pelbagai manfaat menerusi pameran disediakan oleh kementerian berkenaan.

“Nampak sambutan di booth kementerian amat memberansangkan begitu juga agensi dan kementerian lain,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau melawat booth Kementerian Pertanian dan Industri Makanan meninjau “Happy Hour Sale” pelbagai produk pada hari terakhir program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Untuk rekod,  Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia menyaksikan sambutan luar jangkaan apabila lebih 103,000 pengunjung hadir sepanjang empat itu.

Mengulas mengenai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) yang akan berlangsung pada 21 hingga 23 Disember ini, Ronald memaklumkan pameran akan diadakan secara maya dan fizikal.

Sebelum ini, beliau menjangkakan seramai 200 usahawan akan tampil dalam program berkenaan dengan lebih 2,000 Stock Keeping Unit (SKU) produk yang boleh dibeli secara dalam talian selama tiga hari. – MalaysiaGazette