Antara aktiviti bengkel yang dijalankan.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik Universiti Malaya membantu belia di PPR Gombak Setia yang hilang punca pendapatan untuk mencari peluang pekerjaan dalam
bidang penyelenggaraan bangunan khususnya penyenggaraan elektrik dan penghawa dingin.

Penyelidik yang diketuai oleh Sr Dr. Umi Kalsum Zolkafli @ Zulkifly dan penyelidik bersama iaitu Professor Sr Dr. Ts. Azlan Shah Ali, Prof. Madya Dr. Norhanim Zakaria dan Prof. Madya Dr. Au Yong Cheong Peng berserta UMCares, Universiti Malaya telah melaksanakan program pemindahan
ilmu di bawah geran penyelidikan ‘University for Society’ anjuran daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Pendidikan Tinggi.

Program ini adalah khusus untuk memberi pengetahuan asas ketukangan penyenggaraan pembinaan dari segi teori dan praktikal kepada golongan belia PPR Gombak Setia.

Program U2u ini telah mendapat kerjasama daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah.

Menurut Umi Kalsum, seramai 12 orang peserta telah dipilih untuk menyertai program U2u ini dan telah berjalan dari 6 Disember 2021 dan berakhir pada 10 Disember 2021.

Sepanjang pelaksanaan program ini, ceramah dan latihan praktikal telah dikendalikan oleh pensyarah dari Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah, berdasarkan Modul Ketukangan Pembinaan yang disediakan oleh penyelidik daripada Universiti Malaya.

Modul ini merangkumi jenis bahan, kaedah pemasangan, peralatan yang digunakan serta kaedah penyenggaraan.

Modul ini juga memberi pendedahan kepada peserta cara pengiraan kos dan kebolehpasaran.

”Di akhir program, peserta dikehendaki untuk menduduki ujian praktikal dan bertulis bagi mendapatkan sijil pencapaian yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah. Setiap peserta yang berjaya lulus program
ini diberikan peralatan asas ketukangan (tools) elektrik dan penghawa dingin bagi memulakan pekerjaan di bidang ini.

“Adalah diharap agar program U2u ini dapat memberi manafaat kepada golongan belia dalam mendapatkan pekerjaan di dalam industri pembinaan khususnya kerja yang melibatkan penyenggaraan elektrik dan penghawa dingin. Program U2u ini juga diharap dapat dipanjangkan kepada golongan komuniti yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast