Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Mohammad Mentek (kanan) bersama Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Cyber Security Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (kiri) membuat gimik perasmian CSM-ACE 2021 dan perlancaran Makmal Ujian Keselamatan Siber 5G (My5G), Modul Kesedaran Keselamatan Siber Nasional (MKKSN) dan Program Galakan Pemeriksaan Keselamatan Siber (PGPKS) pada majlis Cyber Security Malaysia - Awards, Conference and Exhibitions (CSM-ACE) 2021 di Menara Cyber Axis, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 14 DISEMBER 2021.

CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi dan Mulimedia (KKMM) hari ini melancarkan Makmal Ujian Keselamatan Siber 5G (My5G), Modul Kesedaran Keselamatan Siber Kebangsaan (MKKSN) dan Program Galakan Pemerkasaan Keselamatan Siber Malaysia (PGPKS).

Pelancaran itu selaras usaha negara memperkukuh keupayaan keselamatan siber negara sebagai persediaan untuk pelancaran 5G.

Dalam masa sama, ia merupakan penyediaan rangka kerja keselamatan dan memastikan pengendali 5G serta penyedia teknologi di Malaysia mengekalkan keselamatan perkhidmatan mereka.

Menurut Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek berdasarkan laporan insiden keselamatan siber kepada Cyber999, sebanyak 9,461 kes melibatkan penipuan, kod salah laku, penafian kesalahan, cubaan ceroboh dan gangguan siber direkodkan sehingga November 2021.

“Berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, terdapat sebanyak 4,327 kes jenayah siber yang dilaporkan hingga suku pertama tahun ini yang mengakibatkan kerugian sehingga RM77 milion,” katanya semasa berucap di Pelancaran Cyber Security Malaysia – Awards, Conference & Exhibition (CSM-ACE) hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Mohammad Mentek berucap pada Perasmian Cyber Security Malaysia – Awards, Conference and Exhibitions (CSM-ACE) 2021 di Menara Cyber Axis, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 14 DISEMBER 2021.

Justeru, Makmal Ujian Keselamatan Siber 5G atau My5G yang dibina di CyberSecurity di sini merupakan makmal ujian kemudahan penilaian dan keselamatan telekomunikasi pakar yang pertama di Asia Tenggara untuk produk, peranti dan aplikasi 5G.

Beliau seterusnya menggesa organisasi di Malaysia untuk terus memperkukuh daya tahan keselamatan siber melalui Transformasi Siber kerana Transformasi Digital akan memacu penggunaan pelbagai teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang terdedah kepada ancaman siber.

“Ancaman siber sentiasa berevolusi. Maka, kita perlu mengambil pendekatan yang lebih holistik untuk memastikan elemen berkaitan manusia, proses dan teknologi dapat diselaraskan dengan pengurusan risiko siber yang berkesan”, katanya.

Makmal tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2023.

CyberSecurity Malaysia turut memperkenalkan dua inisiatif utama dalam usaha mengukuhkan daya tahan siber komuniti Keluarga Malaysia dan juga sektor perniagaan.

Modul Kesedaran Keselamatan Siber Nasional (MKKSN) merupakan modul pembelajaran dan pengajaran mengenai kesedaran keselamatan siber secara dalam talian.

Ia menyasarkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dibangunkan dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP).

“Melalui pelaksanaan MKKSN, ia dapat melahirkan murid sekolah yang beretika serta beradab ketika melayari internet, meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan murid sera berupaya mengurangkan impak negatif dalam kalangan murid seperti gangguan emosi, gangguan kesihatan, keciciran dalam pelajaran serta berkelakuan negatif, kasar dan biadap semasa dalam talian,” katanya.

Program Galakan Pemerkasaan Keselamatan Siber Malaysia (PGPKS) pula adalah program bantuan sasaran yang menawarkan pemeriksaan kesihatan keselamatan siber komprehensif bag membantu sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menghadapi ancaman siber.

Program itu dijangka dapat memanfaatkan sehingga 300 PKS tempatan yang banyak bergantung kepada ICT dalam operasi harian mereka.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Bin Mohamed dalam ucapannya menekankan Malaysia perlu mempercepatkan pembangunan kapasiti dalam bidang keselamatan siber.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Cyber Security Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed berucap pada Perasmian Cyber Security Malaysia – Awards, Conference and Exhibitions (CSM-ACE) 2021 di Menara Cyber Axis, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 14 DISEMBER 2021.

“Para profesional keselamatan siber generasi akan datang perlu menyedari bahawa ancamanĀ siber baharu akan muncul apabila teknologi 5G diterima pakai bersama-sama dengan aplikasi, perkhidmatan dan kes penggunaan baharu,” katanya.

CSM-ACE edisi ke-12 yang berlangsung bermula 14 hingga 17 Disember ini diadakan secara hibrid dan dihadiri oleh profesional keselamatan siber, pemimpin industri, pelabur teknologi, ahli akademik dan pegawai kerajaan.

Persidangan akan menyaksikan beberapa simposium khusus industri dan perbincangan panel seta pameran kerjaya keselamatan siber.

Pada majlis itu juga turut disampaikan Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2021 kepada organisasi dan yang telah menyumbang secara signifikan kepada industri keselamatan maklumat dan keselamatan siber Malaysia.- MalaysiaGazette