Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar anti-party hopping bill Parliament Dewan Rakyat amendment federal constitution
Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebelum RUU itu dibentangkan, cadangan pindaan berkenaan telah terlebih dahulu dipersetujui kerajaan Sabah dan Sarawak.

Katanya, cadangan pindaan itu juga telah dibawa ke Jawatankuasa Rakan Sekutu pada 11 Oktober lalu dan dipersetujui peringkat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 pada 18 Oktober serta Jemaah Menteri pada 20 dan 29 Oktober lalu.

Menurut beliau, RUU itu digubal untuk meminda perkara-perkara seperti Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan; tafsiran “the Federation” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan; tafsiran baharu “Malaysia Day” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan; dan Fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan.

Semasa Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan bagi Negeri-Negeri Persekutuan adalah i) “Nama, Negeri dan Wilayah Persekutuan serta di Persekutuan hendaklah dikenali, dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dengan nama Malaysia.

“Bagaimanapun, pada 1976, peruntukan ini telah dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976 [Akta A354] bagi menyatakan satu persatu semua Negeri anggota Persekutuan mengikut susunan abjad, berkuat kuasa mulai 27 Ogos 1976.

“Pindaan kemudiannya dicadangkan pada tahun 2019 melalui Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 supaya diperuntukan semula peruntukan yang sama sebagaimana dalam tahun 1963 dengan ubah suaian yang perlu selaras Singapura keluar dari Malaysia dan mengeluarkan penggunaan perkataan “Negeri-Negeri Melayu” serta “Negeri-Negeri Borneo”.

“RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini kemudian dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 9 April 2019 dengan cadangan Pindaan Dalam Jawatankuasa untuk memasukkan perkataan “Negeri-Negeri Melayu” dan “Negeri-Negeri Borneo” selaras dengan tuntutan Ahli Dewan Rakyat pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memohon mencadangkan RUU bernama Suatu Akta Perlembagaan (Pindaan) 2021 dibacakan kali yang kedua di sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Wan Junaidi, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat semasa dibentangkan pada bacaan kali kedua ketika itu.

Katanya, selaras dengan semangat dan hasrat Perjanjian Malaysia 1963 serta aspirasi dan harapan kerajaan Sabah dan Sarawak, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 sekali lagi dimohon untuk mempertimbangkan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan beserta pindaan kepada tafsiran “the Federation” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu Bilangan 1/2021 pada 8 Mac lalu, kerajaan Sarawak telah membentangkan cadangan pindaan kepada tafsiran “the Federation” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah kajian terperinci dibuat dan rundingan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak diadakan, pindaan takrif “the Federation” telah dipersetujui.

“Pindaan tafsiran sedemikian selaras dengan tuntutan asal kerajaan Sabah dan Sarawak yang telah diperluas dengan mengambil kira sejarah evolusi pembentukan Persekutuan selepas tahun 1957, merangkumi Perjanjian Malaysia 1963 dan selepas pemisahan Singapura daripada Malaysia pada 1965.

“Cadangan ini juga akan memberi pengiktirafan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dalam Perlembagaan Persekutuan dan dibuat dengan merujuk kepada recital serta Article I Perjanjian Malaysia 1963,” katanya. – MalaysiaGazette