Undi18 Sarawak state election polls Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Undi18 voters Election Commission anti-party hopping
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan bagi Perjanjian Malaysia 1963 mendapat undian lebih dua pertiga dari Ahli Dewan Rakyat.

Undian yang dilakukan secara belah bahagian itu mendapat 200 undi, tiada yang tidak bersetuju, manakala 20 Ahli Parlimen tidak hadir.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan perkara itu berkata, dengan jumlah undian yang menyokong itu, maka RUU Perlembagaan pindaan MA63 mendapat undi dua pertiga seperti ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Maka RUU ini dibacakan kali yang kedua sekarang,” katanya ketika mempengerusikan perbahasan dan penggulungan RUU Perlembagaan (pindaan) Perjanjian Malaysia 1963 di Dewan Rakyat, petang ini.

Seramai 28 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan itu dan penggulungan dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar petang ini.

Dalam penggulungan itu, Dr. Wan Junaidi menyatakan, kerajaan berjanji akan memberi perhatian sewajarnya segala cadangan dan pandangan Ahli-ahli Parlimen berhubung pindaan RUU itu.

Kata beliau, banyak cadangan dikemukakan, antaranya pindaan kepada tafsiran ‘Persekutuan’ di bawah Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pindaan itu mengambil kira tiga aspek utama iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perjanjian Singapura, iaitu perjanjian berhubung pemisahan Singapura dari Malaysia tahun 1965.

“Cadangan pindaan tafsiran itu adalah untuk memberikan definisi yang betul dan tepat mengenai istilah ‘Persekutuan’ dalam Perlembagaan Persekutuan.

“MA63 yang ditandatangani 9 Julai 1963 hendaklah dibaca bersama perjanjian lanjut yang ditandatangani oleh United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland dengan Federation of Malaya, North Borneo, Sarawak dan Singapura yang dimeterai pada 28 Ogos 1963.

“Perjanjian itu dimeterai bagi meminda Artikel II Perjanjian Malaysia 1963 untuk menggantikan tarikh Hari Malaysia daripada 31 Ogos 1963 kepada 16 September 1963 dan Akta Malaysia hendaklah berkuatkuasa pada 16 September 1963,” katanya.

Menurut Dr. Wan Junaidi, tiada apa-apa percanggahan timbul mengenai kedudukan Sabah (North Borneo pada ketika itu) dan Sarawak sebagai koloni ketika menandatangani MA63 bersama United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland dan Persekutuan Tanah Melayu pada 9 Julai 1963.

Berhubung cadangan meminda “Yang di-Pertua Negeri” Sabah kepada “Yang diPertua Negara”, katanya, apabila hak kedaulatan Negeri Sabah dan Sarawak dilepaskan daripada British pada 16 September 1963, maka Malaysia dibentuk dan Perlembagaan Negeri Sabah dan Sarawak yang digubal serta berkuatkuasa melalui Perlembagaan Negeri telah menggunakan istilah “Yang di-Pertua Negara” (Sabah) dan “Governor” (Sarawak) bagi Ketua Negeri tersebut.

“Dalam hal ini, Malaysia Act telah memasukkan tafsiran “Governor” sebagai turut merujuk kepada Yang di-Pertua Negara Sabah iaitu negeri yang tidak mempunyai raja,” katanya.

Menjawab perbahasan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) yang menyentuh mengenai isu Sabah dan Sarawak tidak hanya berkaitan Perjanjian Malaysia, beliau berkata, isu keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas sentiasa menjadi agenda utama kerajaan.

Katanya, perkara itu sedang diteliti di bawah jawatankuasa ditubuhkan di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 dengan isu seperti keselamatan negeri, sosio-ekonomi merangkumi penambahbaikan infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan, infrastruktur digital serta isu perundangan.

Mengenai soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Stampin, Tuaran, Bandar Kuching dan Pasir Gudang, Dr. Junaidi berkata, bagi membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk cadangan pindaan di bawah RUU itu, beberapa prosedur libat urus perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Antaranya, kata beliau, sesi libat urus dengan kedua-dua Peguam Besar Sabah dan Sarawak, yang mana pindaan kepada peruntukan yang dicadangkan perlu dibincangkan dan dipersetujui.

Pindaan ini kemudian perlu dibawa dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri masing-masing di peringkat negeri Sabah dan Sarawak;

Seterusnya, dipersetujui oleh Jawatankuasa Rakan Sekutu di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963;

Dipersetujui oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Menteri-Menteri yang berkaitan sosio-ekonomi, keselamatan dan perundangan yang mana turut dianggotai oleh Ketua Menteri Sabah dan Sarawak.

Ia kemudiannya disahkan dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri di peringkat Persekutuan.

Oleh itu, katanya, pindaan tambahan tidak dapat dimasukkan pada masa ini disebabkan prosedur dan proses tersebut perlu dilaksanakan terlebih dahulu, selain ia juga tidak mengikuti Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau turut menjawab perbahasan Ahli Parlimen Keningau, Batang Lupar, Kota Belud dan Tuaran yang membangkitkan kedudukan perbezaan dalam cadangan Suruhanjaya Cobbold dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Ujar beliau, semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Commission of Enquiry, North Borneo and Sarawak yang dipengerusikan Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi mendapatkan pandangan dan cadangan rakyat North Borneo dan Sarawak berhubung dengan penubuhan Malaysia.

“Antara pihak yang terlibat dalam sesi rundingan dengan Suruhanjaya Cobbold adalah yang terdiri daripada wakil dari Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara and Sarawak.

“Ini termasuk ahli tidak rasmi daripada Badan Perundangan Negeri-Negeri berkenaan, Dewan Bandaraya, Majlis-majlis Daerah, pelbagai persatuan dan parti politik, dewan perdagangan, kesatuan sekerja, pemimpin agama, anggota eksekutif dan badan perundangan.

“Turut terlibat ialah ketua komuniti anak negeri dan sebilangan besar orang awam. Proses rundingan tersebut merangkumi sesi pendengaran awam dan memorandum secara bertulis,” katanya.

Kata beliau, setelah pandangan semua pihak diperoleh, Suruhanjaya Cobbold dalam pemerhatiannya menyatakan cadangan untuk membentuk Malaysia adalah demi kepentingan North Borneo dan Sarawak.

Suruhanjaya Cobbold turut mencadangkan agar dapatan daripada laporan ini dibincangkan antara kerajaan-kerajaan yang berkaitan. – MalaysiaGazette