Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. Foto MOHD ADZLAN, 14 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengingatkan usahawan-usahawan yang berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing agar tidak lupa tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai pelapis melalui konsep francais.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau tidak mahu usahawan-usahawan yang berjaya ini hanya meraih kekayaan dalam kalangan ahli keluarga mereka sahaja, sebaliknya kejayaan itu perlu dikongsi bersama dengan melahirkan usahawan baharu.

“Saya ucapkan tahniah sudah 16 cawangan ya, tapi satu sahaja saya nak cakap, kalau sudah kaya, jangan kaya seorang, bila francais ini janganlah D’Tandoor ini, hanya Datuk Abdul Malik Abdullah dengan anak dia saja (kaya).

“Ciptalah usahawan-usahawan yang baharu seperti mana perancangan saya bahawa kita nak melatih usahawan-usahawan.

“Kalau D’Tandoor nak buka satu lagi cawangan di mana-mana, kita boleh kursus dengan Pernas (Perbadanan Nasional Berhad), Pernas boleh bagi modal untuk membuka cawangan baharu,” katanya di Roti By D’Tandoor, di sini, hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menyerahkan bakul kasih Prihatin MAIWP kepada penerima Yayasan Kaseh Kanser pada majlis perasmian Roti by D’Tandoor dan Kasih Prihatin MAIWP di Jalan Damai, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 DISEMBER 2021.

Terdahulu beliau menyempurnakan program Kasih Prihatin Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Bersama Yayasan Kasih Kanser & Kronik dan Persatuan Sindrom Down Malaysia Sempena Hari OKU Sedunia.

Dalam pada itu, Noh juga mencabar usahawan tempatan mengambil contoh pelabur asing yang berani melebarkan sayapnya ke negara ini dengan mempunyai cawangan restoran makanan segera di seluruh negara.

“D’Tandoor akan mempunyai cawangan, McDonald’s pun boleh ada di seluruh negara, takkan D’Tandoor tak boleh

“Saya lihat D’Tandoor pun ada pusat latihan, latihlah anak-anak muda untuk menjadi usahawan seperti Datuk Abdul Malik,” katanya.

Menurutnya, MEDAC akan sentiasa melihat keperluan-keperluan yang diperlukan oleh usahawan ini dalam memastikan mereka terus bertahan dalam dunia keusahawanan.

“Prinsip yang saya perkenalkan di MEDAC ialah apabila kursus, wajib menjadi usahawan, bukannya kursus makan gaji dengan D’Tandoor, itu tak boleh.

“Kalau kursus dengan D’Tandoor kena bukan satu cawangan D’Tandoor dan usahawan ini akan menjadi rakan kongsi D’Tandoor

“Agensi kita pula akan memberikan pembiayaan untuk usahawan dan cawangan baharu. D’Tandoor pun untung, dalam masa sama kita pun dapat cipta usahawan baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette