ADUN Ulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad diusir keluar oleh Timbalan Speaker Dewan Negeri Perak ketika membahas di Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 DISEMBER 2021.

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad kembali mencetuskan kontroversi apabila diarah keluar dewan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid kerana gagal mematuhi Perintah Tetap 44 (2) DUN Perak.

Mohammad Zahir berkata, pemimpin pembangkang PKR itu tidak menghormati dan mengikuti arahan Timbalan Speaker sebelum itu, Khalil Yahya ketika sesi penggulungan DUN selain menimbulkan kelakuan haru-biru.

Kekecohan berlaku selepas Muhammad Arafat tidak berpuas hati kerana Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari gagal menjawab isu kenaikan harga sayur-sayuran dan enggan meminta maaf kerana tidak memberi penjelasan.

Khalil yang enggan melayan permintaan itu dalam hujahnya berkata, Abdul Yunus telah berjanji untuk memberi jawapan bertulis.

Namun Muhamad Arafat tidak berpuas hati kerana isu kenaikan barang itu didakwa melibatkan rakyat dan sudah berlarutan sejak beberapa hari di mana Abdul Yunus sepatutnya sudah bersedia menjawab dalam sesi penggulungan Bajet Perak 2022 di sini hari ini.

Muhammad yang terus berkeras dengan Khalil turut mengganggu sesi penggulungan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi yang baru mengambil tempat.

Namun Mohammad Zahir kembali ke dewan menggantikan dan terus mengarahkan Muhammad Arafat dibawa keluar oleh bentara.

“Saya dimaklumkan sebelum saya masuk timbalan telah buat ruling minta YB Hulu Kinta keluar hari ini. Ini kerana berlaku kelakuan haru-biru. Jadi mengikut standing order 44 (2), demi kemuliaan dewan, saya minta YB Hulu Kinta keluar dari dewan. Bentara, mohon iring Hulu Kinta keluar.

“Sekejap Timbalan Speaker kata boleh duduk atau keluar. Saya tidak faham apa benda ini. Saya tanya isu rakyat, Exco tidak jawab, saya dikeluarkan. Tidak apa,” katanya.

Dalam sidang medianya, Muhamad Arafat berkata, tujuan -ahli ahli dewan datang ke Dewan Undangan Negeri untuk membawa isu rakyat dengan harapan diberi penjelasan.

Namun jelas beliau, Abdul Yunus gagal menyediakan jawapan walaupun isu harga barangan sudah dibahas dalam Bajet Perak 2022 sejak Isnin lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN Hulu Kinta bawa ayam dalam DUN Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast