Max Verstappen. Foto: Facebbok F1

LONDON – Kontroversi yang tercetus dalam penentuan juara Formula 1 (F1) pada Grand Prix Abu Dhabi Ahad lalu telah mencemarkan imej sukan permotoran itu.

Persekutuan Otomobil Antarabangsa (FIA) berkata, pihaknya akan menjalankan analisis terhadap insiden yang mencetuskan kontroversi.

Katanya, semua pasukan bertanding serta pemandu F1 akan dipanggil untuk duduk bersama bagi merangka garis panduan setelah menerima pengajaran daripada apa yang berlaku di Abu Dhabi.

Ia jelas satu kesilapan dalam pengendalian perlumbaan yang memberi kesan kepada kejuaraan F1 musim ini menyebabkan tindakan pengarah perlumbaan, Michael Masi menjadi topik kontroversi pada perlumbaan tersebut.

Masi didakwa tidak mematuhi peraturan dan protokol yang ditetapkan dalam memulakan semula perlumbaan selepas tempoh kehadiran kereta keselamatan tidak disebut dalam kenyatan FIA pada Ahad lalu.

Keputusan Masi menyaksikan pemandu Mercedes Lewis Hamilton yang mendahului perlumbaan itu mengejar gelaran kejuaraan kelapan tewas di tangan pemandu Red Bull, Max Verstappen.

Perlumbaan dimulakan semula pada lap terakhir yang membolehkan Verstappen memintas Hamilton bagi menjuarai F1 musim ini.

Mercedes telah mengemukakan bantuan dan rayuan untuk menyemak semula keputusan itu bagaimanapun ditolak oleh penganjur perlumbaan.

Namun tindakan Masi yang bertindak tanpa meneliti protokol F1 ketika itu dianggap telah mencalar imej F1 di mata dunia.

Sementara itu, pada sidang media berangsingan di Ibu Pejabat F1 semalam, Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner berkata, rentetan kontroversi penentuan juara dunia di Abu Dhabi, Masi memerlukan sokongan padu untuk membolehkan dia menjalankan tugasnya dengan efektif.

Juara dunia F1 yang baharu, Verstappen menyatakan Masi cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik.

“Adalah tidak adil untuk membenci dia disebabkan keputusan yang diambilnya pada Ahad selain kita semua perlu menyedari bahawa tugas yang dipikul Masi adalah sangat mencabar,” katanya. – BBC Sport