Gambar Hiasan. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Berikutan tiada bau pencemaran diesel yang dikesan di muka sauk, Air Selangor telah memulakan proses rawatan air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri berkata, ia perkembangan terkini selepas proses rawatan air itu dihentikan serta merta pagi tadi selepas bau diesel dikesan di sungai tersebut.

“Berikutan tiada bau yang dikesan di muka sauk, Air Selangor telah memulakan proses rawatan air mentah di LRA Sungai Semenyih.

“Ini adalah untuk memastikan agar air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada para pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina menambah bahawa, rentetan pengoperasian semula proses rawatan LRA, bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya pukul 11.30 malam Jumaat ini.

Menurutnya, para pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

“Sementara menunggu operasi kembali normal, bantuan air alternatif melalui 81 lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dan premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” katanya.

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – MalaysiaGazette