IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menafikan dirinya sengaja bersikap ‘nakal’ dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sedang bersidang mengenai Bajet Perak 2022 ketika ini.
Wakil rakyat PKR itu menjelaskan, rakyat boleh menilai tindak-tanduknya dalam dewan kerana apa yang dilakukan mempunyai asas dan keperluan.
BACA: ADUN Hulu Kinta bawa ayam dalam DUN Perak
Malah menurut beliau, apa yang terjadi dan menimbulkan kontroversi hanya selepas beliau memberi ruang sepenuhnya kepada pemimpin kerajaan untuk menjawab isu rakyat terlebih dahulu.
“Rakyat boleh menilai dan jika tiada asas, itu baru orang panggil nakal tetapi saya bangkit semua ada asas, saya bawa ayam pun saya hendak menunjukkan betapa serius keperitan rakyat di bawah. Kalau nakal sebelum bagi ruang sepenuhnya, itu nakal saya bawa ayam.
“Maknanya ruang diberi dari Jumaat lepas dan saya tunggu dan memerhati tiada siapa menjawab. Bila tidak jawab baru saya buat tindakan begitu. Itu tidak nakal. Kalau tidak diberi ruang bercakap dan bawa ayam, itu baru nakal.
“Kita tunggu dan bagi ruang sepenuh sampai hujung, sampai bila kita hendak tunggu. Bila tidak ada baru kita ambil tindakan. Itu pasal saya bawa ayam.
“Macam hari ini pun, saya sudah jelas. Kalau kata nakal pun apa akan berlaku, sebelum (Exco) cakap saya sudah buat masalah. Ini saya duduk dan tunggu sahaja. Harap sekurang-kurangnya beri harapan dan keyakinan itu penting.
“Kalau Exco itu tidak ambil tanggungjawab, perhatian dan tak layan, pedulikan isu rakyat, apa lagi saya hendak buat kecuali bersuara macam ini,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Arafat Varisai Mahamad kembali mencetuskan kontroversi apabila diarah keluar dewan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid pada sesi penggulungan Bajet Perak 2022 petang ini kerana gagal mematuhi Perintah Tetap 44 (2) DUN Perak.
Pada Selasa lalu, Muhamad Arafat membawa seekor ayam ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak yang bertujuan menegur Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) yang merupakan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak agar prihatin dengan masalah kenaikan harga barang.
Ditanya sama ada apa yang dilakukannya dirancang dan mencari gimik, Muhamad Arafat menegaskan, beliau tidak memerlukan semua itu untuk menjadi tular di media sosial.
“Rakyat boleh nilai sama ada saya rancang dan ia tiada asas kerana kalau saya rancang, semua Exco buat penggulungan saya boleh buat (kontroversi).
“Saya bukan hendak viral tapi untuk beritahu kepada rakyat di DUN saya dan mereka sudah kenal saya.
“Kalau hendak viral, orang di Kuala Lumpur bukan hendak undi saya pun. Ada sembilan Exco gulung, tidak semua saya bangun. Ada asas, baru saya bangun,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
ADUN Hulu Kinta kembali cetus kontroversi diarah keluar dewan