Megat Zulkarnain (tengah) bertanya khabar seorang bapa yang hadir pada majlis Anugerah Kecemerlangan Anggota YBR.

KUALA LUMPUR – Seramai 34 graduan tajaan Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima ganjaran RM1,000 seorang sebagai penghargaan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian dengan keputusan CGPA 3.50 ke atas.

Mereka, iaitu graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana 2020 diraikan Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin dalam Majlis Kecemerlangan Anggota di ibu kota, semalam.

“Ganjaran wang tunai beserta sijil penghargaan ini sebagai penghargaan kepada mereka yang menunjukkan pencapaian membanggakan dalam pengajian dan kokurikulum.

“Anugerah ini diperkenalkan sejak 2015 lagi sebagai usaha YBR menghargai serta memberi inspirasi kepada anak anggota Bank Rakyat serta pelajar tajaan bagi menyokong agenda pendidikan negara dalam melahirkan modal insan berketerampilan tinggi,” katanya pada majlis itu.

Turut hadir, Naib Pengerusi YBR, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak dan Pemangku Pengurus Besar YBR, Abd. Samad Khalid.

Menurut Megat Zulkarnain, dalam mendepani cabaran Industri 4.0, pelajar bukan sahaja perlu bijak, malah konsisten dari segi emosi, kreativiti, inovatif, selain bijak merebut peluang serta berani mengambil risiko dalam membuat keputusan.

Katanya, dengan adanya anugerah itu sekurang-kurangnya memberi dorongan dan memotivasikan graduan untuk lebih berjaya serta berbakti kepada bangsa dan negara.

“YBR telah menyediakan pelbagai peruntukan bagi pembangunan modal insan termasuk mengubah Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada biasiswa untuk pelajar tajaan yang mendapatkan keputusan cemerlang,” katanya.

Megat Zulkarnain menyampaikan sijil penghargaan kpada graduan tajaan YBR.

Sementara itu, penerima anugerah, Muhammad Afif Jazli Samion, 24, yang mengambil jurusan Sains Gunaan (Teknologi) berkata, minat berterusan, semangat tidak putus asa serta sokongan ibu bapa adalah elemen penting kepada kejayaannya.

Seorang lagi penerima, Fauzah Mohamed, 25, yang mengambil jurusan Pendidikan Vokasional berkata, pendidikan sangat penting dalam mencorakkan masa depan seseorang.

Katanya, galakkan dari pensyarah dan rakan seperjuangan banyak membantunya dalam mengekalkan momentum ketika sesi pengajian.

“Ini memberi kepuasan berganda kepada saya dan anugerah yang saya terima ini adalah rezeki dari hasil usaha dan doa yang tidak pernah putus,” katanya. – MalaysiaGazette