KUALA LUMPUR – Seramai 60 peratus populasi bekerja dan bekerjaya di Malaysia layak untuk memohon Anugerah Kelayakan Akademik (APEL.Q) yang mengiktiraf pembelajaran individu melalui pengalaman sebelumnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Beliau berkata, APEL.Q yang bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat itu hanya memerlukan pemohon untuk memenuhi minimum tahun bekerja sebagai pengalaman pada tahap sesuai dalam bidang yang relevan.
Katanya, bagi peringkat sijil memerlukan pemohon yang mempunyai lima tahun pengalaman, Diploma (10 tahun), Diploma Lanjutan (12 tahun), Ijazah Sarjana (20 tahun) dan Ijazah Kedoktoran (25 tahun).
“Banyak kelebihan mengikuti APEL.Q seperti menggalakkan individu bekerja untuk memperoleh kelayakan yang lebih tinggi, mengelakkan pembelajaran yang berulang dan mengurangkan kos pengajian.
“APEL.Q menjadikan sistem pendidikan tinggi kita lebih fleksibel dan setanding negara maju yang rata-ratanya telah mengiktiraf pembelajaran terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada siaran langsung Pocket Talk, The New Era of MQA : Flexible Education Premiere di Facebook Live Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Minggu Pendidikan Ekspo 2020 Dubai, baru-baru ini.
APEL.Q ialah kesinambungan daripada dua inisiatif inisiatif Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) sebelum ini, iaitu APEL. A (akses berterusan ke institusi pengajian tinggi) dan APEL.C (anugerah kredit berdasarkan pengalaman terkumpul untuk mendapatkan pemindahan kredit untuk kursus dalam program).
Mohammad Shatar berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan pula disaran merebut peluang untuk menjadi Pusat Penilaian APEL bagi membolehkan masyarakat untuk mengambil peluang menyambung pengajian ke peringkat yang mereka idamkan.
Katanya, buat masa ini sudah ada enam IPT yang menjadi Pusat Penilaian APEL.A dan 34 Pusat Penilaian APEL.C.
“Universiti yang sudah menjadi Pusat Penilaian APEL.C layak untuk memohon menjadi Pusat Penilaian APEL.Q yang kini hanya ditawarkan di lima IPT rintis di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette