Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berucap pada majlis pelancaran buku “JUANG oleh Mat Sabu” di Mardiyah Hotel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kemunculan Parti Warisan Sabah (Sabah) di peringkat nasional bukan ancaman untuk Pakatan Harapan (PH).

Bahkan, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu berkata, gabungan parti politik itu bersedia berbincang di peringkat Majlis Presiden untuk bekerjasama dengan Warisan, sekiranya terdapat permohonan dibuat.

“Tidak ancaman bagi kita penubuhan parti-parti politik ini. Kita akan melihat perlu kerjasama atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran ‘Buku Juang Mat Sabu’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, PH perlu menambah rakan-rakan demi berhadapan dengan pilihan raya yang akan datang.

“Kita kena mencari sahabat yang ramai untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Kita lihat apa yang berlaku di Melaka menyebabkan kita kena buat struktur semula terhadap parti-parti pembangkang dan mesti cari jalan untuk mencari kekuatan baharu.

“Apa yang berlaku di Melaka, BN tidak menambah undi cuma berlaku sedikit perpecahan dalam pembangkang dan masalah pilihan raya yang tidak kita pernah alami sebab kekuatan pembangkang adalah ceramah bila itu tidak dibolehkan maka kita agak tergamam dalam keadaan begitu,” jelas beliau.

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal ketika pelancaran parti itu di peringkat nasional hari ini yakin parti pimpinannya berada di landasan yang tepat selepas bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Untuk rekod, Warisan dan PH saling bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. – MalaysiaGazette