KUALA LUMPUR – Empat orang mahasiswa dari Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya memenangi empat anugerah dalam bidang masing-masing di Anugerah Kecemerlangan WorldSkills
Malaysia 2021, baru-baru ini.

Pertandingan WorldSkills Malaysia 2021 merupakan pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan bertujuan untuk memilih dan mengiktiraf belia atau pekerja
mahir yang mempunyai kemahiran unggul membantu meningkatkan tahap kemahiran tenaga manusia di Malaysia yang bertaraf dunia.

Empat orang penuntut FTMK UTeM telah berjaya menjulang kemenangan apabila memenangi empat anugerah bagi kategori berbeza yang telah mereka sertai.
Penuntut Diploma Teknologi Maklumat, Low Zi Lun bersama penyelia yang merupakan pensyarah kanan FTMK, Yahya Ibrahim telah dipilih menjadi johan bagi kategori VirtualSkills Malaysia bidang IT Software Solution for Business.

Sementara itu, seorang lagi penuntut Diploma Teknologi Maklumat, Muhammad Najmi Rosli bersama penyelianya yang juga merupakan pensyarah kanan FTMK, Shahril Parumo telah memenangi naib johan bagi kategori VirtualSkills Malaysia untuk bidang Web Technologies.

Chia Jian Wei yang merupakan pelajar kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian Komputer) bersama penyelianya Prof Madya Dr. Mohd Faizal Abdollah telah berjaya memenangi pingat perak bagi kategori III Khabarovsk International Skills Competition untuk bidang IT Network System Administration.

Sementara itu, Wan Muhammad Khairuddin Wan Ab Karim, pelajar kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) bersama penyelianya Dr. Mohd Zaki Mas’ud turut memenangi pingat perak bagi kategori WorldSkills Malaysia University Challenge 2021 untuk bidang Cybersecurity.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir. Dr. Ghazali Omar berkata, pertandingan ini merupakan peluang dan pengalaman besar buat keempat-empat penuntut UTeM ini mempamerkan kemahiran dan kepakaran mereka.

Jelasnya, kemenangan ini sekaligus menzahirkan bahawa mahasiswa UTeM atau dikenali dengan TUAH UTeM mempunyai pakej kemahiran dan kompetensi tinggi dalam bidang yang mereka pelajari selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada keempat-empat mahasiswa UTeM serta kumpulan penyelia atau pensyarah mereka yang telah berjaya mencapai
kecemerlangan dalam pertandingan ini.

Keempat-empat pelajar terbabit berpeluang untuk menjalani ujian saringan sebelum melayakkan diri menjadi peserta mewakili Malaysia ke WorldSkills Competition Shanghai 2022 yang akan diadakan pada 12 hingga 17 Oktober 2022 di Shanghai National Exhibition and Convention Center kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast