Air Selangor scheduled water disruption LRA SSP1
Kakitangan Air Selangor mengisi tangki air sebelum diagihkan kepada kawasan-kawasan yang mengalami masalah gangguan bekalan air berjadual susulan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Satu (LRA SSP1) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Ampang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2021.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan dan satu loji beroperasi pada pengeluaran separa berikutan peningkatan paras sungai yang mengakibatkan banjir.

Bagi LRA Langat 2, berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di LRA Langat 2.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan di LRA Sungai Langat, peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian manakala LRA Cheras Batu 11 terpaksa di henti tugas berikutan banjir.

“Berikutan henti tugas loji-loji rawatan air ini, sebanyak 472 kawasan di tiga Wilayah iaitu Wilayah Petaling, Wilayah Kuala Lumpur dan Wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual,” kata satu kenyataan Air Selangor hari ini.

Jangkaan untuk LRA Cheras Batu, LRA Langat 2 dan LRA Sungai Langat beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

Disebabkan oleh kesulitan yang dialami di mana kebanyakan jalan utama ditutup berikutan situasi banjir yang meningkat, Air Selangor tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air kepada para pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan-kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini, katanya.- MalaysiaGazette