Tiga masjid utama di Putrajaya akan menganjurkan solat hajat selepas solat Maghrib malam ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan solat hajat malam ini khusus bagi mendoakan situasi buruk bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff berkata, solat hajat itu akan di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya selepas solat Maghrib.

“Berikutan situasi banjir yang melanda di beberapa negeri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad telah mengarahkan JAKIM untuk mengadakan solat hajat.

“Solat hajat yang khusus bagi mendoakan situasi buruk bencana yang melanda beberapa negeri ketika ini akan diadakan selepas solat Maghrib malam ini melalui tiga buah masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, JAKIM turut memohon kerjasama Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri untuk turut sama mengadakan solat hajat di masjid serta surau di seluruh negara bagi tujuan itu.

Dalam itu juga, katanya, menteri turut meminta masjid utama terus cakna dengan mangsa banjir dan sentiasa bersedia dijadikan pusat penempatan mangsa banjir sekiranya diperlukan pihak berkuasa.

“Jakim menzahirkan rasa simpati dan sentiasa mendoakan kepada semua mangsa banjir dan turut menyeru seluruh lapisan masyarakat Keluarga Malaysia untuk sama-sama menzahirkan keprihatinan terhadap mereka yang terjejas akibat banjir,” katanya. – MalaysiaGazette