Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik semasa merdah banjir di Taman Deluxe hari ini

DENGKIL – Seorang lelaki maut ketika meredah banjir di kawasan kedai selepas terkena renjatan elektrik di kawasan premis perniagaan Taman Deluxe di sini hari ini.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Shafizol Mohd Nor berkata, mangsa tempatan berusia 30-an itu terkena renjatan elektrik ketika melalui kawasan kedai tersebut.

“Kejadian berlaku jam lebih pukul 10.30 pagi tadi semasa anggota bomba sedang melakukan kerja menyelamat penduduk di perumahan Taman Mas dan Taman Aman di sini untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yakibat kejadian banjir teruk di kawasan Dengkil sejak semalam.

“Ketika anggota bomba dan penyelamat tiba ke tempat kejadian, mangsa kelihatan terbaring dan kerja menyelamat mangsa disegerakan dengan menggunakan tali untuk menarik mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa yang berbaju kemeja kuning dan berseluar jean pendek telah disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat telah dibawa ke Hospital Putrajaya oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut proses bedah siasat,” katanya hari ini.

Rentetan kejadian itu, pasukan bomba mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mematikan segera bekalan elektrik di kawasan perumahan penduduk itu bagi mengelak kemalangan jiwa berulang.

Menurutnya, sejak pukul 3 pagi tadi, Taman Mas dan Taman Aman dinaiki air banjir hampir dua meter tanpa menunjukkan tanda tanda surut sehingga segala akses ke kawasan itu lumpuh.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan dengan bantuan bomba, APM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke pusat pemindahan yang diaktifkan untuk bencana kali ini.

“Sesetengah penduduk di sini juga tidak memberi kerjasama kepada kami untuk berpindah segera dan melakukannya di saat akhir walaupun telah diberi nasihat dan arahan untuk meninggalkan kediaman masing-masing-serta merta sejak malam tadi selepas melihat situasi banjir bertambah kritikal.

“Ramai penduduk beranggapan mereka sudah tinggal lebih 12 tahun di kawasan itu dan tidak menjangka akan berlaku banjir besar kali ini sebelum menyedari bahawa tanggapan mereka kali ini salah sebelum bekerjasama berpindah segera.

“Saya mohon kerjasama penduduk agar mematuhi arahan pihak berkuasa kerana ketika ini musim hujan berpanjangan dan sebarang kemungkinan boleh terjadi memandangkan paras air sungai juga tidak menunjukkan penurunan sebaliknya terus naik termasuk pelepasan air empangan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Di samping itu, menurutnya, pasukan bomba juga menghadapi masalah dari segi melaksanakan kerja-kerja menyelamatkan mangsa banjir kerana banyak kenderaan awam diletakkan di bahu jalan sehingga menyukarkan pihaknya menurunkan aset iaitu bot untuk menyelamatkan penduduk.-MalaysiaGazette