Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2021 yang dijadual dilaksanakan secara hibrid di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada 21 Disember ini ditangguhkan.

KUALA LUMPUR – Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2021 yang dijadual dilaksanakan secara hibrid di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada 21 Disember ini ditangguhkan.

Ia ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Penangguhan ini adalah berikutan bencana banjir besar yang telah melanda serta menjejaskan beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang dan kebanyakan kawasan di seluruh negara ketika ini.

“Keputusan ini diambil sebagai pendekatan kementerian dalam usaha dan misi untuk memberikan tumpuan kepada membantu golongan sasar yang terjejas dan terkesan ekoran daripada bencana ini,” kata MAFI dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, misi dan bantuan kepada golongan petani, penternak dan nelayan serta keseluruhan rantaian agromakanan yang turut terjejas ini adalah bagi menjamin
kelangsungan bekalan dan sekuriti makanan negara selain demi menjaga keselamatan, kesihatan awam dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan secara langsung atau tidak langsung oleh semua pihak yang terlibat dalam persediaan penganjuran HPPNK
2021.- MalaysiaGazette