Oleh: Dr. Nurul Ashikin Alias
PERKEMBANGAN trend semasa perniagaan di platform e-commerce menunjukkan perubahan yang pantas dan lebih mendapat sambutan semenjak berlakunya pandemik Covid-19. Sebelum wujudnya era perniagaan platform e-commerce, kaedah pembelian yang dilakukan oleh pengguna adalah secara konvensional iaitu pengguna perlu pergi ke kedai tersebut secara fizikal dan membeli untuk mendapatkan barang yang dikehendaki. Namun kini, terdapat pelbagai platform e-commerce yang berada di pasaran sama ada Shopee, Lazada, Ebay, Etsy dan pelbagai lagi yang saling bersaing antara satu sama lain.
Bagi menarik pengguna untuk menggunakan platform tersebut, pelbagai strategi pemasaran dan perniagaan yang telah dilakukan bagi memastikan kelangsungan perniagaan tersebut. Antara strategi perniagaan yang dilakukan adalah dengan memperkenalkan kaedah pembayaran melalui Buy Now Pay Later (BNPL) atau Beli Dahulu Bayar Kemudian. Melalui kaedah ini seseorang individu boleh membeli sesuatu item dan membayar item tersebut pada bulan berikutnya atau setelah barang tersebut telah diterima, di mana pembayaran boleh dilakukan sama ada secara keseluruhan atau ansuran. Kaedah sistem pembayaran BNPL telah pun diterima pakai secara meluas di Eropah untuk tempoh yang agak lama, bagaimanapun, ia telah mula berkembang di pasaran Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai salah satu penyelesaian pembelian dalam talian.
Melalui konsep pembayaran BNPL juga telah membuktikan bahawa ‘kad kredit’ mampu ditemui di mana-mana sahaja tanpa memerlukan kewujudan kad tersebut secara fizikal. Perkara yang membezakan pemilik kad kredit dan juga pengguna BNPL adalah bagi memiliki kad kredit seseorang individu perlu mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang stabil bagi memboleh pihak bank mengeluarkan kad tersebut untuk kegunaan pengguna. Berlainan pula dengan kaedah kredit pembayaran BNPL di mana pelbagai lapisan pengguna sama ada pelajar kolej, surirumah, penganggur dan remaja yang mempunyai pengetahuan digital akan dapat menggunakannya kelebihan tersebut tanpa mengambil kira status pendapatan semasa individu. Konsep BNPL sekiranya dilihat pada permukaan dapat dinilai sebagai suatu kaedah yang mampu membantu pelanggan-pelanggan berpotensi yang berada dalam pasaran untuk mendapatkan barang-barang keperluan.
Namun, tanpa sedar pada hakikatnya BNPL ini merupakan salah satu perangkap halus kewangan yang mampu memerangkap seseorang individu dalam krisis kewangan lebih besar secara perlahan-lahan. Kebiasaannya keadaan sudah terlambat ketika individu tersebut menyedari krisis kewangan yang berlaku, Jika dilihat dari kedua-dua perspektif, kaedah BNPL ini mempunyai kebaikan dan keburukan bergantung kepada bagaimana seseorang individu itu menggunakan kemudahan ini. Dari sudut positif kaedah pembayaran BNPL akan memberikan beberapa kelebihan kepada pengguna seperti melibatkan proses permohonan yang mudah dan cepat kerana tidak melibat kelayakan spesifik (tiada had umur, tiada kelayakan khusus, dan tidak memerlukan kelayakan skor kredit). Keadaan ini akan memudahkan urusan pembelian mengejut di pihak pelanggan disebabkan tiada faedah atau faedah yang lebih rendah dikenakan berbanding kad kredit.
Di sebalik kelebihan, kaedah BNPL juga mempunyai keburukannya iaitu akan menggalakkan pengguna melaksanakan perbelanjaan yang bersifat impulsif sehingga
mengakibatkan perbelanjaan berlebihan dari kapasiti kewangan. Hal ini kerana individu tersebut akan merasakan dia masih mempunyai ruang untuk meningkatkan kapasiti hutangnya disebabkan oleh jumlah hutang yang telah dipecahkan kepada nilai-nilai yang lebih kecil untuk satu tempoh waktu sehingga membuatkan individu cenderung berpendapat bahawa mereka masih mampu untuk menampung hutang kewangan yang lain. Walaupun pada hakikatnya nisbah kewangan terhadap jumlah pendapatan semakin meningkat. Menurut saranan yang diberikan oleh AKPK juga nisbah hutang kepada pendapatan yang berada dalam kategori baik adalah 45 peratus dan ke bawah. Selain itu, melalui kaedah BNPL ini juga sekiranya pembayaran lewat atau gagal melakukan pembayaran kembali akan mengakibatkan yuran pembayaran lewat dan caj tambahan akan dikenakan. Selain tu turut akan menjejaskan nilai kredit skor seseorang individu.
Kesimpulannya, adalah penting untuk setiap individu sentiasa melengkapkan diri agar mampu menjadi pembeli yang bijak dan berhemat sebelum memasuki pasaran. Antara nasihat yang biasa saya sampaikan kepada masyarakat dan juga individu adalah kita tidak dapat menyalahkan atau menghalang sesebuah syarikat dari melaksanakan strategi perniagaan dan pemasaran bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Kita sebagai seorang pengguna seharusnya lebih ‘bijak’ dalam bertindak dan menggunakan sebarang kemudahan yang telah disediakan. Bijak dalam erti kata di sini adalah anda perlu menjadi seorang pengguna yang mempunyai ilmu kewangan yang sentiasa di kemaskini dari semasa ke semasa. Selain itu, anda juga perlu sentiasa memastikan emosi anda sentiasa dalam keadaan terkawal dan stabil ketika menguruskan kewangan anda. Hanya dengan ilmu pengetahuan dan emosi yang stabil sahaja akan memastikan anda mampu menjadi pembeli yang bijak dan berhemat.
Penulis ialah Felo Penyelidik, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Malaya