Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu bersedia menawarkan apa juga bentuk bantuan yang boleh diberikan bagi mengurus suasana kritikal bencana banjir yang melanda Selangor ketika ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ada menghubungi rakan sejawatnya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung tawaran itu.

“Saya telah menghubungi Amirudin menerusi telefon dan menawarkan apa jua bentuk bantuan yang boleh diberikan bagi meringankan kesan kritikal banjir di sana.

“Beliau mengucapkan terima kasih dan akan terus berhubung jika perlukan sebarang bantuan,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.

Amirudin dalam responnya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan rakyat Terengganu atas keprihatinan situasi yang sedang dihadapi rakyat Selangor.

“Sama-sama kita berdia agar situasi ini kembali pulih,” katanya.

Sementara itu, Amirudin minta rakyat di kawasan Sepang agar menghubungi Bilik Gerakan daerah itu di talian 03-8706 1212 atau 011-5669 8501 untuk melaporkan kecemasan atau memerlukan bantuan akibat banjir.

Katanya, pertolongan akan diusahakan sesegera mungkin.- MalaysiaGazette