Kediaman usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat semasa proses lelongan barangan yang disita di Selangor Polo Residency, Kota Damansara. Foto FAREEZ FADZIL, 14 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Lelongan awam kali kedua barangan milik usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat akan dibuat pada hari Rabu ini.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli yang mewakili plaintif OWA Resources bagi kes pelanggaran kontrak perniagaan untuk membekalkan produk bengkung dan girdle telah menerima kelulusan permohonan dari mahkamah bagi lelongan tersebut.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah meluluskan permohonan agar lelongan awam kali kedua dilakukan di rumah Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman di Premis No. 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

”Pihak firma guaman kami menerima pengisytiharan jualan yang dikeluarkan oleh mahkamah pada hari Khamis, 16 Disember lepas. Orang ramai yang ingin membeli senarai barang-barang yang akan dilelong bolehlah datang ke lokasi lelongan pada hari Rabu ini,” kata Nurul Hafidzah Hassan, peguam utama OWA Resources dari NHA Advocates & Solicitors.

Mereka yang ingin membida pada hari lelongan juga dinasihatkan membawa wang yang mencukupi bagi memastikan bayaran terus dibuat selepas proses pembidaan.

Senarai barang-barang yang akan dilelong pada pukul 10.30 pagi itu adalah sama seperti lelongan yang telah dilangsungkan pada hari pertama lelongan, 14 Disember lalu.

Proses lelongan awam terpaksa dilakukan untuk kali kedua pada minggu ini kerana lelongan pertama gagal apabila seorang pembida, Mohammad Syazwan Ahmad Fiesol yang membuat bidaan tertinggi sebanyak RM132,000 menghilangkan diri selepas memberi alasan keluar untuk membuat bank draf sejurus selepas sesi bidaan berakhir.

Nurul Hafidzah juga memberi penjelasan yang proses lelongan kedua ini bagi menuntut pampasan RM200,000 yang gagal dibayar seperti diarahkan mahkamah kepada anak-anak guam iaitu Nurwati Husin, 41 dan Mohamed Syakir Hussin, 32 daripada OWA Resources Sdn. Bhd. yang merupakan bekas stokis utama usahawan tersebut hanyalah wang saguhati kepada anak-anak guam.

”Objektif utama anak-anak guam mengambil tindakan undang-undang melalui kes saman sivil ini adalah bagi membersihkan nama mereka setelah dituduh menipu, memfitnah dan apabila satu laporan polis palsu telah dibuat oleh pihak defendan yang kononnya anak guam telah pecah amanah wang syarikat Muhammad Sajjad sebanyak RM1 juta,

”Selepas lebih daripada tiga tahun berjuang untuk kes ini di mahkamah, sistem kehakiman mendapati yang pihak plaintif tidak pernah menipu, memfitnah dan pecah amanah seperti yang didakwa oleh pihak defendan. Anak-anak guam tidak bersalah dan keadilan telah ditegakkan,” tambah Nurul Hafidzah. – MalaysiaGazette