Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob visits the flood victims at the temporary shelter in Selangor. PIXL MalaysiaGazette / 19 DECEMBER 2021. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat beramah mesra dengan sebahagian kanak-kanak ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Klang, Selangor. Foto MALAYSIA GAZETTE, 19 DISEMBER 2021. flood management
Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob visits the flood victims at the temporary shelter in Selangor. PIXL MalaysiaGazette / 19 DECEMBER 2021. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat beramah mesra dengan sebahagian kanak-kanak ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Klang, Selangor. Foto MALAYSIA GAZETTE, 19 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara hari ini bersetuju untuk menyalurkan beberapa lagi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah bersetuju menyalurkan RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir.

GLIC dan GLC yang telah menyumbang ini termasuklah Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dengan geran kerajaan sebanyak RM25 juta, ini bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca-banjir adalah RM75.8 juta,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir.

“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir melalui TEKUN Nasional. Koperasi yang terjejas juga akan dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000,” katanya lagi.

“Untuk membantu usahawan pula, pembiayaan kewangan diberikan sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN). Pembiayaan ini adalah tanpa faedah/keuntungan dengan tempoh bayaran yang bermula hanya selepas enam bulan perjanjian pembiayaan ditandatangani,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan dua bulan pengecualian sewa (rental waiver) kepada penyewa SME Bank’s Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir.

Beliau juga mengulangi komitmen kerajaan yang diumumkan semalam bagi menyalurkan bantuan berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas akibat bencana alam itu.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk aktiviti pemulihan pasca banjir bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak.

“Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sama ada yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak,” katanya.

Mesyuarat yang sama juga bersetuju isu banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam perlu diselesaikan dengan kadar segera.

“Saya telah mengarahkan semua agensi mengatur kerja dengan lebih agresif untuk membantu mangsa banjir di sana.

“Sehingga petang ini sebanyak 41 bot, 16 lori juga aset-aset lain telah digerakkan ke Taman Seri Muda dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang,” kata Ismail Sabri lagi.

Selain itu, beliau turut mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air  untuk menggerakkan 20 aset pam mudah alih bagi mengepam air dari kawasan yang mengalami banjir genang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Peruntukan RM100 juta baiki rumah rosak mangsa banjir – PM