KLANG – Tujuh beranak terpaksa duduk di dalam kereta lebih 10 jam di Tanah Perkuburan Islam Meru, di sini, selepas kediaman mereka ditenggelami banjir pada Sabtu lalu.
Zamri Hamzah, 54, berkata, dia bersama isteri dan lima anak hanya berlindung di dalam kereta berikutan jalan keluar dari kawasan berkenaan sudah dilimpahi air banjir.
Jelas Zamri, mereka sekeluarga kemudian berjaya diselamatkan oleh kenalan yang datang ke tanah perkuburan itu kira-kira pada pukul 10 malam dan membawa mereka ke Sekolah Kebangsaan Setia Alam.
“Kali ini memang yang paling teruk kerana air naik sangat cepat selepas pukul 6 pagi pada Sabtu lalu.
“Sekitar pukul 10 pagi air mula mencurah-curah masuk ke dalam rumah dan saya terus ambil dokumen yang penting, saya dan kami ambil keputusan untuk duduk di kawasan kubur di dalam kereta sehingga pukul 10 malam, selepas itu baru ada rakan bantu bawa kami ke sekolah tempat isteri saya mengajar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Taman Binjai Jaya, Meru, di sini, hari ini.
Turut sama berkongsi detik cemas, Bayamin Yaacob, 38, berkata, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan terus membawa isterinya, Haslinda Md. Noor, 37, yang sedang sarat mengandung lapan bulan bersama tiga anak menuju ke rumah rakan selepas kediaman mereka ditenggelami banjir hampir separas pinggang.
Menurut Bayamin, tiada barangan rumah yang sempat diselamatkan olehnya berikutan paras air mula maik secara mendadak.
“Saya selamatkan keluarga dahulu dan bawa ke rumah rakan sebab isteri sedang sarat mengandung, jadi saya tak sempat berbuat apa-apa. Bila saya patah balik air sudah semakin tinggi dan melimpah di atas jalan utama sehingga tidak boleh dilalui lagi oleh kenderaan.
“Semua penduduk taman mula berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), ada juga yang tak sempat alihkan kenderaan kerana kami memang tak jangka air boleh naik terlalu cepat,” ujarnya.
Tambah Bayamin, walaupun agak terkilan kerana tidak sempat mengalihkan kereta jenis Proton Wira dan motosikal miliknya namun dia bersyukur kerana anak-anak dan isterinya berada dalam keadaan selamat.
Sementara itu, peniaga nasi lemak, Norasikin Ghazali, 50, hiba apabila barang-barang seperti periuk nasi, mesin pengisar serta pinggan mangkuk yang diguna olehnya untuk berniaga musnah dalam kejadian banjir.
Norasikin kelihatan begitu kecewa ketika pulang sebentar untuk meninjau situasi rumahnya hari ini.
“Kami keluar rumah sekitar pukul 3 petang pada Sabtu lalu, itu pun hanya sempat bawa beg tangan dan dokumen penting sebelum terus menuju ke rumah anak di Bukit Kapar.
“Apabila sampai di rumah anak, kami sekali lagi terpaksa meranduk banjir, tapi rumah anak pula tak ada air jadi kami terpaksa menumpang di stesen minyak untuk mandi dan basuh baju di dobi.
“Kawasan taman ini memang selalu banjir tapi tidak seteruk apa yang berlaku pada Sabtu lalu kerana air naik terlalu cepat dan kami tak sempat berbuat apa-apa,” ujarnya.
Ketua Taman Binjai Jaya, Tuzelan Sahidun, 42, berkata, kesemua 42 buah rumah di kawasan perumahan itu terjejas akibat banjir yang melanda tiga hari lalu.
Menurutnya, kesemua penduduk terpaksa berpindah ke PPS dan menuju ke rumah saudara-mara masing-masing selepas kediaman mereka mula tenggelam.
“Lepas dapat maklumat air atas jalan mulai surut jadi kami terus balik ke rumah untuk mula mengemas.
“Memang semua total loss dan hancur, tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk semua barangan elektrik kerana air memang naik mendadak dan di luar jangkaan,” katanya yang sudah menetap di situ lebih 15 tahun. – MalaysiaGazette