Ketua Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Amalan Pelaburan Global Bank Dunia, Richard Record berkata, paras hutang negara masih sederhana dan tidak membimbangkan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu meneruskan langkah-langkah bantuan pendapatan sedia ada yang melibatkan golongan sasar seperti kumpulan miskin dan rentan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan lagi demi memastikan kelangsungan sokongan kewangan mereka dalam masa terdekat, kata Kumpulan Bank Dunia.

Ahli Ekonomi Kanan Bagi Kemiskinan dan Kesaksamaan kumpulan itu, Dr Ririn Salwa Purnamasari berkata,  terdapat keperluan berterusan untuk menyalurkan sokongan kepada kumpulan isi rumah lebih besar, terutama yang berpendapatan rendah dan rentan menerusi bantuan tunai sekurang-kurangnya sehingga pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan gaji dapat disambung kembali.

“Hanya selepas itu, bantuan tunai ini dapat ditumpukan kepada golongan miskin tegar,” katanya pada majlis pelancaran Malaysia Economic Monitor December 2021 Edition ‘Staying Afloat’ atau laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia Disember 2021 oleh Bank Dunia bertajuk ‘Kekal Bertahan’ di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ririn Salwa berkata, subsidi upah bersasar juga perlu diperkenalkan, termasuk melibatkan golongan wanita dan belia yang lazimnya berdepan kesukaran untuk memasuki pasaran pekerjaan.

“Apabila keadaan ekonomi dan pengambilan pekerja kembali pulih, sumber-sumber tersebut dapat disasarkan kepada mereka yang masih memerlukan sokongan untuk mendapat kerja dan tidak menerima bantuan daripada program subsidi upah sedia ada,” katanya.

Selain itu, langkah-langkah seperti program rintis dan penilaian insurans sosial juga perlu dilaksanakan yang membolehkan Malaysia menyelami pengalaman negara-negara lain dari segi inisiatif untuk meningkatkan liputan dan kecukupan program insurans sosial bagi pekerja dalam sektor tidak formal.

Mengulas sistem pendidikan, beliau berkata ruang pendidikan Malaysia memerlukan pendekatan untuk mempertingkat proses pembelajaran, terutama bagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Susulan langkah penutupan sekolah yang berpanjangan, ada kemungkinan besar jurang perbezaan antara isi rumah yang bernasib baik dan sebaliknya telah melebar,” katanya.

Sehubungan itu, Ririn Salwa berkata, sebagai langkah permulaan, kerajaan boleh melakukan penilaian mengenai kesan kehilangan pembelajaran akibat pandemik COVID-19 bagi menentukan bantuan atau keperluan khusus pelajar yang memulakan semula sesi secara bersemuka.

Bagi tumpuan jangka panjang, beliau berkata kerajaan perlu menambah baik sasaran dan aspek kecukupan sistem pemindahan tunai Malaysia agar memberi liputan serta perlindungan yang lebih baik.

“Ini boleh dilaksanakan dengan merangkumi program jangkauan dan memanfaatkan daftar program pemindahan tunai sedia ada yang menumpukan golongan paling teruk terjejas sepertimana dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Menurutnya, dari semasa ke semasa, kerajaan juga berkemungkinan besar perlu meningkatkan perbelanjaan bantuan sosial bagi memastikan sistem perlindungan sosial yang lebih mantap selain menggalakkan hasil yang lebih saksama.

“Pada masa sama, dasar-dasar pasaran tenaga kerja perlu diperkukuh untuk meningkatkan kemampuan tindak balas mereka terhadap sebarang kejutan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast