KUALA LUMPUR – Jumlah deposit yang harus dibayar oleh pihak pembida aset Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman (Sajat) dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM20,000.
Lelongan kedua aset itu akan dilakukan esok selepas kali pertama dibuat pada 14 Disember lalu.
Menurut peguam, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors, tindakan itu dibuat apabila Sajat gagal membuat bayaran pampasan setelah writ penyitaan ditampal di premisnya pada 14 Disember.
Seorang lelaki telah berjaya membida barangan milik usahawan kosmetik pada harga RM132,000 pada 14 Disember lalu namun menghilangkan diri pada masa dia sepatutnya membayar wang tunai RM132,000 sebaik lelongan berakhir.
OWA Resources Sdn. Bhd. berkata, dengann syarat baharu ini, mereka yang berminat untuk membida dinasihatkan membawa wang tunai secukupnya di tempat lelongan di rumah Sajat di No. 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana hanya wang tunai sahaja yang diterima sebagai deposit.
Bagi mereka yang berjaya membida aset yang dilelong, dinasihatkan juga membawa wang yang mencukupi atau menyediakan bank draf bagi memastikan bayaran terus dibuat selepas proses pembidaan.
Ini kerana hanya wang tunai atau bank draf sahaja yang diterima sebagai kaedah pembayaran pada hari esok. – MalaysiaGazette