Najib Razak

KUALA LUMPUR – Semua mangsa-mangsa banjir diharap bersabar semasa menunggu bantuan oleh anggota-anggota keselamatan negara kerana semua pihak sedang melakukan yang terbaik dengan kemampuan paling tinggi.

Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tahu ada yang marah dan mendakwa anggota-anggota keselamatan lewat tiba untuk memberi bantuan.

Namun, katanya, banjir kali ini berlaku serentak.

Contohnya di Selangor, ia membabitkan banyak kawasan penduduk maka kerahan anggota dan aset perlu diagihkan dan pasti akan berlaku kelewatan.

”Kita perlu ambil kira, pengerakan mereka yang terpaksa menempuh jalan putus, tanah runtuh dan sebagainya namun mereka tetap berusaha untuk tiba di kawasan terjejas.

”Saya diberitahu ada yang turut menengking anggota keselamatan ini. Saya harap anda semua bersabar kerana mereka sedang melakukan yang terbaik dengan kemampuan paling tinggi.

”Ucapkan terima kasih pada mereka kerana anggota keselamatan ini sedang melakukan yang terbaik untuk kita semua. Itu sahaja yang saya pohon dari anda,” katanya.

Dalam pada itu, bekas perdana menteri itu turut menzahirkan rasa sangat kagum dengan kesungguhan rakyat Malaysia dan barisan hadapan membantu satu sama lain ketika bencana ini.

Semangat ini bukan pertama kali dipamerkan semua.

”Tiada siapa boleh nafikan kesungguhan dan semangat rakyat Malaysia ini dalam aktiviti sukarelawan. Saya puji semangat anda!

”Apabila saya turun bersama pasukan saya untuk hantar bantuan, saya terserempak dengan ramai rakyat yang turun membawa segala jenis barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir. Kaya pahala rakyat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette