Dr. Abd. Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperturunkan bidang kuasa mengurus bencana alam kepada pengurusan negeri dan daerah.

Dengan kata lain, kebanyakan urusan itu perlu diselesaikan di peringkat bahagian pengurusan daerah dengan memberikan senarai lengkap kepada NADMA untuk menyalurkan bantuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, selepas menerima senarai itu, agensi itu akan menyalurkan bantuan kepada mereka yang mengalami banjir.

“Kerap kali kita berhadapan dengan bilangan mereka yang terlibat. Kadang-kadang nama ketua isi rumah ini bertindih dan kita akan pastikan mereka yang menerima bantuan ini adalah mangsa.

“Ini selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 iaitu Dasar dan Mekanisme Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara,” katanya.

Beliau menyangkal laporan kononnya NADMA hanya mengurus pampasan, bukan terlibat kerja kejadian bencana alam, dalam penggulungan perbahasan Bajet 2022 di Parlimen pada 15 November lalu.

Ketika itu, seramai 25 Ahli Parlimen telah berbahas memberi pandangan, pertanyaan terhadap Jabatan Perdana Menteri khususnya perkara bersangkut paut dengan portfolio NADMA.

Menurut Dr. Abd. Latiff, NADMA sentiasa memantau dan akan bekerjasama rapat bukan sahaja dengan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri, tetapi juga Ahli-ahli Parlimen.

Berhubung cadangan agar tempat tinggal sementara bagi mangsa kebakaran atau bencana termasuk banjir disegerakan termasuk penyediaan bantuan makanan, katanya, apabila berlaku sesuatu bencana, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan dibuka dengan segera mengikut arahan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Selaras dengan Arahan MKN 20 juga, kata beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah bertanggungjawab menguruskan PPS serta menyediakan makanan serta kemudahan asas kepada mangsa.

Jelas Dr. Abd. Latiff, mengikut Perkara 82, Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan iaitu kebajikan termasuk senarai dan tanggungjawab kerajaan pusat, negeri mahupun kerajaan yang ketiga iaitu majlis daerah mempunyai tanggungjawab bersama membantu mangsa bencana kebakaran dan banjir.

Beliau turut menjelaskan, NADMA hanya agensi yang menjaga dan hendak memberi pampasan, tetapi urusan banjir adalah tiga perkara yang dikongsi iaitu kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan pusat.

“Jadi, hal yang bersangkut paut dengan banjir atau bencana perlu dikongsi. Jangan serahkan semata-mata kepada kerajaan pusat. Kerajaan negeri dan kerajaan ketiga juga perlu ada peranan masing-masing.

“Setakat ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, manakala di Sabah oleh Timbalan Menteri, sementara daerah dipengerusikan oleh Ketua Jajahan (DO).

“Dia juga adalah pegawai dan punca kuasa kepada apa juga isu keselamatan dan buat sementara ini, NADMA tidak ada cadangan untuk dipanjangkan pegawai-pegawai ke daerah kerana melibatkan kos yang banyak yang tidak sepatutnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette