Tham Soon (kanan) menerima power bank sumbangan Yayasan Bank Rakyat untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Selangor.

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengagihkan kira-kira 500 unit power bank untuk kegunaan mangsa banjir di Selangor yang terjejas teruk akibat bencana itu pada 17 November lalu.

Menurut Pengerusinya, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin, sumbangan itu sebagai tanda prihatin YBR, selain bertindak dengan segera menyalurkan bantuan yang diperlukan itu.

“Bantuan segera power bank ini diberikan kepada mereka yang telah dikenalpasti terkesan daripada banjir.

“Alat ini bagi memudahkan mereka untuk kegunaan berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa dalam meminta bantuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sumbangan power bank itu diserahkan kepada Timbalan Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras Selangor, Chew Tham Soon dan Ajutan Briged Tengah PGA Cheras Selangor, Mohd Izhan Ismail.

Kata Megat Zulkarnain, bantuan daripada YBR itu adalah sebagai inisiatif kemasyarakatan dalam memberi maklum balas segera membantu mangsa bencana  banjir.

“YBR bersimpati dengan mereka yang terkesan terutama di Selangor yang dikatakan kali terakhir berlaku banjir besar pada tahun 1971.

“Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa terutama dalam aspek komunikasi semasa bencana,” katanya. – MalaysiaGazette