Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu terdapat dua versi Laporan Pengauditan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) milik Jabatan Audit Negara (JAN).

Perkara itu didedahkan oleh saksi pendakwaan ke-12, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad pada prosiding kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut didakwa dalam prosiding ini ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Kata Madinah, terdapat empat daripada 10 salinan asal masih belum diagihkan telah diarahkan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk dimusnahkan daripada simpanan JAN.

“Laporan audit telah diubah dengan gugurkan beberapa perenggan antaranya kehadiran Low Taek Jho dalam mesyuarat khas Lembaga Pengarah 1MDB.

“Datuk Nor Salwani ketika itu telah maklum pada saya yang beliau simpan salinan asal laporan audit 1MDB.

“Beliau simpan salinan asal itu bagi tujuan mendapatkan arahan dari saya yang merupakan Ketua Audit Negara ketika itu sama ada ianya patut dimusnahkan atau sebaliknya.

“Saya telah membuat keputusan untuk tidak memusnahkan laporan itu yang mengandungi bukti berkaitan 1MDB,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Saksi yang juga bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad hadir pada perbicaraan

Madinah juga mendedahkan dia mendapat tahu bahawa laporan audit 1MDB telah dicetak sebanyak dua kali antara  awal 2016 dan juga Mac 2016.

Dakwa Madinah, antara yang telah digugurkan dalam laporan audit cetatkan kedua adalah dapatan  audit terhadap dua versi penyata kewangan beraudit 1MDB tahun 2014 dan kehadiran Jho Low.

Jelasnya kehadiran Jho Low tidak direkodkan dalam minit mesyuarat bertarikh 26 September 2009.

“Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada 19 Jun 2015 memaklumkan Jho Low sebenarnya hadir pada mesyuarat berkenaan. Beliau kemukakan salinan minit mesyuarat berkenaan kepada JAN yang mencatatkan kehadiran Jho Low,” ujarnya.

Laporan Pengauditan 1MDB diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Oleh yang demikian saya tidak dapat dedahkan tentang wujudnya ada dua versi laporan audit 1MDB kepada sesiapa.

“Namun pada 15 Mei 2018, saya telah klasifikasikan semula laporan berkenaan sebagai terbuka,” ujarnya.

Prosiding sedang berjalan ketika ini.

Najib, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir 1MDB, sebelum diserahkan kepada PAC, bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

Arul Kanda pula dituduh bersubahat dengan Najib, bagi membantu mengelakkan bekas perdana menteri itu dikenakan sebarang tindakan.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum, serta denda lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, atau mana-mana nilai lebih tinggi. -MalaysiaGazette