BERTAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia memberi laluan kepada golong muda untuk menerajui parti berkenaan sekiranya konsensus berhubung perkara itu dicapai.

Jelas beliau, pencapaian itu akan ditentukan menerusi pemilihan parti akan datang dan pihaknya akan menerimanya secara terbuka sekiranya tokoh baharu dipilih.

“Buat masa ini, kita belum putuskan bila pemilihan parti akan diadakan dan kita bagi ruang kalau konsensus mahu terima yang baharu.

Anwar Ibrahim.

“Kita harus terbuka, jangan terlalu mengongkong kebangkitan tokoh-tokoh baru.

“Selain itu, kita akan tengok tokoh ditonjolkan macam mana, konsensus kepimpinan dan move on,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang di Penang Golf Resort di sini, hari ini.

Majlis perjumpaan MPN Pulau Pinang bersama presiden di Penang Golf Resort di Bertam hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang,Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik. – MalaysiaGazette