PUTRAJAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang menjadikan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) sebagai sebuah insitutisi pendidikan elit di rantau ini menjelang tahun 2024.
Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berkata, ia masih berada dalam peringkat perancangan dan tiga maktab diletakkan satu bumbung di bawah Puspahanas iaitu Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan juga Maktab Ketahanan Nasional (MKN).
“MPAT masih mengekalkan kokurikulum pembelajaran sedia ada untuk kursus di sini manakala bagi MKN untuk menentukan kursus yang disediakan supaya kaya dengan budaya dan percambahan intelektual kita memerlukan penyertaan peserta dari luar negara.
“Perkara ini masih dalam tindakan perancangan kita lagi pun Puspahanas ini baru tahun kedua dimulakan maka bermula dari tahun 2024 nanti kita akan melaksanakan penyertaan peserta pertama dari luar negara untuk MKN,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu Affendi hadir menyempurnakan Majlis Penutup Kursus dan Penyampaian Diploma MPAT Siri 41/2021 yang turut dihadiri Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany di Auditorium Utama, Puspahanas di sini hari ini.
Seramai 63 peserta kursus telah berjaya menamatkan pengajian mereka dengan 43 daripadanya lulus dengan cemerlang dan tersenarai dalam Commandant List manakala 20 lagi telah berjaya mendapat Lulus dengan Kepujian manakala 36 peserta lagi tersenarai dalam Senarai Dekan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mereka termasuklah lapan pegawai tentera yang mewakili tujuh buah negara.
MTAT mengajar taktikal dan pengoperasian ketenteraan, MPAT mengajar level strategik dan MKN mengajar Grand Strategik dalam pertahanan.
Tambah beliau, kompleks Puspahanas yang lebih luas dengan kemudahan ketika ini memudahkan proses pembelajaran dan kursus yang dijalankan sempurna lagi.
“Selain itu, apa yang kita lihat sekarang adalah perlunya menerapkan kesedaran masyarakat bahawa aspek keselamatan sebenarnya merupakan tanggungjawab bersama.
“Yang menyedihkan, rakyat kita masih leka dari segi kesedaran mengenai keselamatan itu maka dengan adanya Puspahanas ini, ia dapat membantu ATM melakar satu pelan tindakan yang dapat meningkatkan kesedaran bahawa aspek keselamatan ini sebenarnya untuk semua,” katanya lagi.
Menurut beliau, kesedaran mengenai keselamatan akan memastikan negara melangkah ke satu tahap yang mana Malaysia bersedia menghadapi segala ancaman-ancaman daripada luar.
Bagaimanapun ujar beliau, apa yang penting adalah mahu menyampaikan mesej kepada masyarakat berkenaan soal sekuriti bukan terhad daripada segi ketahanan sahaja tetapi juga melibatkan banyak aspek lain iaitu sekuriti makanan, air dan tenaga.
“Wujud keperluan untuk kita meletakkan asas yang kukuh bermaksud satu perancangan yang menyeluruh untuk jangka masa panjang demi kecemerlangan dan jaminan keselamatan bersama,” tegasnya.-MalaysiaGazette