Tangkap layar video yang tular memaparkan pergaduhan sehingga mengakibatkan seorang pemuda mati dalam kejadian di Taman Sejati, Batu Anam, Segamat, malam tadi

SEGAMAT – Seorang pemuda maut dibunuh dalam satu pergaduhan kerana membuat bising depan rumah di Taman Sejati, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima maklumat  berkenaan pergaduhan itu melibatkan sekumpulan lelaki dan wanita India pukul 9 malam.

“Hasil siasatan mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa yang berusia 30 tahun.

“Mangsa dipercayai telah membuat bising di hadapan rumah suspek. Pergaduhan bermula daripada pertengkaran sebelum berakhir dengan mangsa terbunuh,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, siasatan mendapati mangsa terbunuh disebabkan libasan dan tetakan parang oleh suspek.

Siasatan juga mendapati katanya, beberapa rakan mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut mengalami kecederaan dan kini dirawat sebagai pesakit luar.

Beilau memberitahu, dalam kejadian itu kenderaan milik keluarga suspek turut dirosakkan rakan-rakan mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek menyebabkan mangsa terbunuh.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis membuat tangkapan pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

“Tangkapan melibatkan dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan belasan tahun hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis turut menahan tiga lagi lelaki yang menyebabkan khianat dan rusuhan.

Menurutya, kes disiasat bawah Seksyen 148/302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

“Kes juga disiasat bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Selain itu katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek utama mempunyai tujuh rekod lampau.

Ahmad Zamry meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kegiatan tersebut boleh berhubung dengan mana-mana balai polis.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini,” katanya.

Terdahulu video berdurasi 39 saat memaparkan kejadian tersebut tular dalam media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast