Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka 13 kertas siasatan jenayah harta benda melibatkan bencana banjir di negeri itu pada 17 hingga 23 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bagaimanapun tiada laporan jenayah harta benda di buat di negeri lain.

“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak empat kes siasatan dijalankan di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri motosikal dan sembilan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh pasar raya, kedai dengan maksud melakukan kesalahan mencuri barang-barang di dalam pasar raya atau kedai tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar beliau, seramai 43 suspek ditangkap setakat ini berkaitan jenayah kecurian semasa bencana banjir.

Daripada jumlah tersebut, 40 suspek adalah lelaki manakala tiga orang lagi adalah perempuan.

“Kesemua kes masih dalam siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda di samping mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan undang-undang negara demi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – MalaysiaGazette