Penduduk Orang Asli mengadu tiada makanan dan jambatan yang rosak akibat banjir di Kampung Orang Asli Jeram Kedah di Negeri Sembilan.

SEREMBAN – Masyarakat Orang Asli  di Ulu Beranang di sini mempersoalkan apa rasional agensi kerajaan tidak lagi memberi  bantuan makanan bermasak kepada mereka yang menjadi mangsa banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Keselamatan dan Kesejahteraan Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Sam Anak Chen berkata,  mereka ketika ini sudah kelaparan selama dua hari.

Sam Anak Chen

“Sebelum ini, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) ada beri bantuan makanan bermasak selama dua hari namun saya dimaklumkan mereka terpaksa menghentikan bantuan tersebut atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

“Kami semua dalam kelaparan, ditambah dengan anak-anak kecil yang langsung tidak menjamah makanan sejak pagi tadi.

“Saya mohon sangat-sangat pihak yang bertanggungjawab segera hantar bantuan makanan. Kenapa hentikan bantuan makanan bermasak yang diberikan sebelum ini?” soalnya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Kata Sam, selain makanan, mereka mahu pihak berwajib membantu membaiki jambatan di kampung mereka yang telah rosak ekoran musibah yang melanda baru-baru ini.

“Ianya sudah rosak teruk, rata-rata orang kampung masih tak boleh balik ke rumah untuk mencuci rumah dan meneruskan kehidupan jadi mereka terpaksa menumpang di balai raya dan rumah saudara mara dikawasan sekitar.

“Saya menyeru agar jambatan di kampung kami segera dibaiki agar kami dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala, tolonglah kasihan kepada kami.

“Sebenarnya kita tidak faham langsung apa yang sedang berlaku, tolonglah berikan hak asasi hak kemanusian kepada kami. Langsung tidak faham mengapa semua ini terhenti begitu sahaja?

Menurut rekod banjir yang bermula sejak Sabtu lalu telah memberi kesan terhadap 386 penduduk melibatkan 107 keluarga.

Sementara itu menurut Tok Batin Kampung Jeram Kedah, Yusof Alman hanya pertubuhan bukan kerajaan serta persendirian yang  datang dan bertanya khabar mereka manakala mendakwa pihak kerajaan seperti melepaskan batuk di tangga.

Yusof Alman

“Apalah nasib kami di sini, bantuan untuk Orang Asli seperti tak nampak bayang dan kami merasakan seperti dianaktirikan.

“Selain jambatan saya merayu agar pihak yang bertanggungjawab dapat memberikan peralatan membersih rumah seperti water jet dan perkara-perkara yang sepatutnya,” ujarnya.

Yusof turut mengesa agar kerajaan negeri dapat turun padang bagi meninjau masalah yang dihadapi mereka.

“Semua barang kelengkapan rosak teruk baju, tilam bantal semua musnah disebabkan banjir, jadi kalau boleh saya mohon kerajaan negeri dapat segera memberikan bantuan bagi meringankan beban penduduk.

“Masyarakat orang asli di sini hidup secara ala kadar, namun apabila bencana ini melanda kami seperti hilang segalanya, apakah kami ini bukan manusia? Janganlah buat kami begini, kami seperti hilang arah.

“Jika anda lihat tangisan orang-orang kami, kamu semua akan tahu derita kami,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast